Masjid Selat lokasi penghayatan gerhana matahari 26 Disember ini

Masjid Selat lokasi penghayatan gerhana matahari 26 Disember ini

Mari kita hayati bersama

Abdul Halim

BUKIT PALAH 2 Dis. – Sebuah Program Fenomena Gerhana Matahari Separa 2019 akan diadakan 26 Disember ini bagi memberi penghayatan masyarakat berhubung peristiwa yang berlaku di negara ini.

Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, program yang diadakan Jabatan Mufti Negeri Melaka akan diadakan di Masjid Selat dan dipenuhkan dengan pengisian program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Jelasnya, program yang disambut seawal jam 9.30 pagi itu akan dimulakan dengan solat sunat dan kuliah Dhuha di masjid berkenaan.

“Program itu juga turut mengadakan Tadabbur Al-Quran bagi membicarakan mengenai ayat-ayat yang terdapat di dalam Al-Quran kepada para nabi tentang penciptaan cakerawala di dunia ini.

“Pada acara kemuncak itu, seluruh umat Islam yang berada di kawasan itu diminta dapat bersama mengerjakan solat sunat gerhana matahari dan mendengar khutbah gerhana yang akan disampaikan.

“Pihak kami yakin dengan pemilihan Masjid Selat sebagai acara utama ini mampu menarik lebih ramai pengunjung termasuk pelancong untuk turut bersama menghayati fenomena yang berlaku ini.

“Malah lokasi strategik di kawasan tumpuan pelancong itu mampu menarik pelancong termasuk bukan beragama Islam bagi bersama-sama menyambut pada hari tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MelakaKini selepas menghadiri Mesyuarat Program Fenomena Gerhana Matahari Separa 2019 di Pusat Islam Melaka, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar kesemua masjid di negeri ini turut melaksanakan solat sunat gerhana dan khutbah gerhana agar perkara ini menerima manfaat kepada segenap masyarakat.

“Kita harap seluruh masjid di Melaka akan melaksanakan perkara ini dan surat pekeliling akan dikeluarkan tidak lama lagi agar perkara ini mampu diberi penghayatan oleh umat Islam terutamanya bagi mengetahui fenomena yang berlaku ini salah satu kebesaran Allah SWT,” katanya.

CATEGORIES
TAGS