Masjid Assalimin, Kandang cipta sejarah korban terbanyak

Masjid Assalimin, Kandang cipta sejarah korban terbanyak

Alhamdulllah semakin ramai umat Islam mempunyai kesedaran untuk melaksanakan ibadah korban

 

 


KANDANG 12 Ogos – Kariah Masjid Assalimin di sini mencatat sejarahnya tersendiri apabila mengorbankan 25 ekor lembu pada Hari Raya Aidiladha semalam.

Jumlah itu adalah yang tertinggi dalam tempoh 11 tahun selepas 22 ekor lembu dikorbankan pada 2008.

Menurut Pengerusi masjid itu, Abu Bakar Abu Seman, kira-kira 120 petugas terlibat dalam program korban yang dijalankan secara berkelompok dan individu itu.

 

“Bagi memastikan program ini berjalan lancar, lokasi penyembelihan lembu dipecahkan kepada dua tempat iaitu di masjid ini sendiri dan di surau Kampung Kandang yang terletak kira-kira 200 meter dari masjid ini,’’ katanya kepada MelakaKini ketika ditemui hari ini.

Menurut Abu Bakar, kerja-kerja menyembelih, melapah, menimbang dan mengagihkan daging korban berkenaan dijalankan sendiri oleh penduduk kampung.

Katanya, ia termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan belia dan perkumpulan wanita di kampung berkenaan.

Kerjasama erat itu ujarnya, menyebabkan kerja-kerja korban itu dapat dilaksanakan dengan cepat dan sistematik.

“Kita bermula kira-kira jam 9 pagi selepas solat sunat Aidiladha dan dalam tempoh tiga jam kita telah mula mengagihkan daging korban kepada penerima secara berperingkat,’’ katanya.

Abu Bakar memberitahu, pihaknya telah membuka boring permohonan untuk orang ramai melaksanakan ibadah korban di masjid itu sejak hampir setahun lalu.

“Kita telah mengiklankan program korban di skrin televisyen besar setiap hari dan orang ramai termasuk orang luar yang datang bersolat di masjid ini turut sama membuat permohonan untuk melaksanakan ibadah korban,’’ katanya.

Abu Bakar menyasarkan sebanyak 30 ekor lembu dikorbankan pada Hari Raya Aidiladha tahun depan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Program Korban Berkelompok Masjid Assalimin, Abu Kari Sulaiman berkata, pihaknya membuat bancian penduduk terlebih dahulu sebelum melaksanakan ibadah korban tersebut.

Ini jelasnya, bagi memastikan semua penduduk terutama daripada golongan asnaf dalam kariah Masjid Assalimin mendapat agihan yang adil.

“Kita menggunakan sistem kupon berwarna mengikut nama kampung dan golongan asnaf untuk memudahkan sistem agihan,’’ katanya.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

 

CATEGORIES
TAGS