Masih relevankah kereta lembu di Melaka?

Masih relevankah kereta lembu di Melaka?

Generasi kelahiran 1970-an mungkin generasi terakhir pernah menaiki kereta lembu

“Kereta lembu,
dari Melaka,
Ditarik pula oleh…
Lembu perkasa…”

ANDA pernah dengar lagu ini yang agak popular sekitar 1970-an?

Kereta lembu memang sinonim dengan Melaka.

Sebut sahaja kereta lembu pasti menjadi ingatan masyarakat di mana pengangkutan ini boleh ditemui.

Suatu ketika dahulu, kereta lembu merupakan pengangkutan tradisional yang menjadi lambang kemegahan di Melaka.

Diperkenalkan saudagar India ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15, kereta lembu pada dasarnya terbahagi kepada empat bahagian iaitu badan, roda, gandar dan kajang.

Namun kini, ia hanya tinggal kenangan, jika ditanya generasi hari ini, tidak mustahil ada yang tidak mengenali apakah pengangkutan tradisional ini.

Justeru, MelakaKini melakukan tinjauan mendekati orang ramai untuk merungkai sejauhmana pengangkutan ini dikenali masyarakat dan adakah ia masih relevan di negeri ini?

USAHA KEMBALIKAN KERETA LEMBU TIDAK DITERUSKAN

Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Muhammad Jailani Khamis, secara dasarnya pengangkutan itu warisan sejarah menjadi lambang pengangkutan di Melaka.

Namun jelasnya, usaha mengembalikan perkhidmatan kereta lembu sebagai ikon tarikan pengangkutan pelancongan negeri tidak diteruskan atas beberapa faktor yang wajar.

“Kereta lembu memang bagus, cuma pengurusan sisa najis dia tidak sesuai tambahan pula sistem pencernaan lembu tidak boleh dikawal.

“Jika tidak terkawal, boleh mengakibatkan kekotoran di kawasan pelancongan,” katanya kepada MelakaKini.

FAKTOR KESIHATAN & KEBERSIHAN PERLU DIJAGA

Muhammad Jailani berkata, sebagai negeri pelancongan, sudah pasti faktor kebersihan menjadi keutamaan kerajaan negeri.

“Bila kawasan pelancongan utama, mestilah kena bersih dan selesa untuk menjamin kedatangan pelancongan ke negeri ini.

“Kita bukan tidak mahu hidupkan kembali pengangkutan warisan ini tetapi usaha untuk bawa kembali belum ada buat masa ini,” katanya.

Ujarnya, kereta lembu tidak dibenarkan berada di kawasan pelancongan utama kerana dikhuatiri membawa wabak penyakit.

“Bila ada najis akan ada kemungkinan wabak kesihatan atau penyakit, kalau kawasan pelancongan ada wabak ia boleh menjejaskan imej negeri ini.

“Jadi kita tak nak ambil risiko dengan mana-mana kereta lembu atau kuda, ia memang tidak diberi keutamaan,” katanya.

KERETA LEMBU HANYA DI KAWASAN ECO TOURISM

Jika pengusaha kereta lembu masih ingin meneruskan perkhidmatan itu, kata Muhammad Jailani, mereka boleh berbincang untuk meneruskannya di kawasan ‘eco tourism’.

“Mereka yang masih mengusaha kereta lembu boleh berbincang dengan kita, kita beri kawasan ‘eco tourism’ tetapi bukan kawasan pelancongan atau bandar.

“Majoriti pengusaha kereta lembu adalah persendirian, bagaimanapun lesen perlu diberi pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

KERETA LEMBU WARISAN TERDAHULU

 

Sementara itu, Kamarudin Abdul Kadir,54, berkata, kenderaan tradisional itu wajar dikekalkan kerana ia warisan yang hampir pupus.

“Jika dilihat, anak-anak muda sekarang sudah tidak kenal dengan kereta lembu, ada antara mereka yang pelik apakah kenderaan ini.

“Eloklah diletakkan di satu kawasan untuk tarikan pelancong, sebab generasi sekarang ini rasanya ramai yang tidak tahu, ada yang tahu kereta lembu tetapi tidak tahu gambarannya.

“Ada yang tak tahu nak naik, elok letak di kawasan tumpuan, sebab orang dari luar negara juga ada datang Melaka untuk rasa pengalaman naik kereta lembu,” katanya yang menetap di Taman Desa Duyong.

Seorang lagi pengusaha, Asrul Effendi Abd Aziz, 42, pula berkata, pengangkutan itu masih relevan jika dikekalkan di negeri ini.

“Ia salah satu pengangkutan orang dahulu, ia sesuai dengan negeri Melaka sebagai negeri bersejarah.

“Relevannya kerana kereta lembu hanya ada dan terkenal di Melaka berbanding di negeri lain,” katanya.

Kerajaan negeri menurutnya, perlu mengumpulkan semula semua pengusaha kereta lembu di kawasan yang khas.

“Jika disebutkan tentang faktor kebersihan najis lembu tersebut, pengusaha kereta lembu perlu ada inisiatif sendiri untuk sediakan semua bekas najis.

“Harga dikenakan untuk naik pengangkutan ini juga murah, ada yang kenakan hanya RM10 dan ia sangat berpatutan,” katanya.

Pendapat sama turut disuarakan seorang lagi pengusaha, Mohd Nor Sun, 55, yang setuju kereta lembu perlu diperkenalkan semula di negeri ini.

“Dulu tahun 70-an masih ada kereta lembu di kampung-kampung, ia digunakan sebagai pengangkutan untuk angkat barang dari kawasan kampung selain barang pertanian.

“Sekarang kita nampak ia semakin pupus, kalau ada pun jarang-jarang saja untuk sektor pelancongan,” katanya.

Ujarnya, warisan tradisional itu harus dijaga berikutan ia pernah berjasa kepada masyarakat zaman silam dan perlu dikekalkan sebagai tradisi yang dikagumi.

“Namun kini, penggunaan kereta lembu tidak digalakkan di kawasan bandar kerana ia boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas dan faktor tertentu.

“Sekali-sekala apabila ada pesta kebudayaan diadakan kita berpeluang menyaksikan kereta-kereta lembu yang dihiasi indah,” katanya.

CATEGORIES