Masih relevankah jurusan ‘MassComm’?

Masih relevankah jurusan ‘MassComm’?

Jangan melihat kursus MassCom untuk jadi wartawan semata-mata

ADAKAH jurusan komunikasi media massa (MassComm) tidak lagi relevan untuk diambil oleh pelajar yang dikatakan tidak lagi menjamin masa depan?

Apa kaitan kursus MassComm itu dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0)?

Adakah MassComm itu hanya dikaitkan dengan media cetak?

Pelbagai persoalan yang timbul apabila sesuatu kursus yang sudah lama bertapak di universiti awam mahupun swasta dalam negara serta luar negara kini dikatakan tidak lagi relevan buat pelajar di luar sana yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan mengambil jurusan berkenaan.

Baru-baru ini tular di laman sosial apabila seorang figura yang sudah lama bertapak dalam dunia MassComm ini mengeluarkan kenyataan jurusan itu tidak lagi relevan untuk diambil pelajar kerana dilihat tidak menjamin masa depan pelajar.

 

MASSCOMM KEKAL RELEVAN

Menurut Ketua Program Diploma Komunikasi Massa dan Komunikasi Korporat City Universiti, Wan Anis Aqilah Wan Zamri menyatakan pendapatnya sebagai tenaga pengajar dalam jurusan itu yang dilihat akan terus kekal relevan.

Jelasnya, kerana bidang masscomm itu bukan sahaja tertumpu kepada media cetak semata-mata malah pelbagai kemahiran boleh dipelajari melalui jurusan MassComm itu.

“Media cetak mungkin dilihat kurang relevan ekoran kemunculan portal-portal berita yang tumbuh seperti cendawan lepas hujan namun kesahihan berita itu boleh dipertikai.

“Industri ini masih memerlukan wartawan yang beretika untuk menulis berita yang berkualiti dan bidang penyiaran juga masih memerlukan mereka yang berkemahiran di depan kaca televisyen dan di belakang tabir,” katanya ketika dihubungi MelakaKini.

 

MEDIA CETAK DAN IR 4.0

Menurut beberapa pengamal media yang ditemui MelakaKini, rata-rata turut menyatakan sokongan mereka terhadap jurusan itu masih kekal relevan walaupun persaingan dalam dunia pemberitaan pada zaman ekonomi digital sekarang cukup mencabar.

Media cetak mungkin dilihat tidak relevan seiring dengan perkembangan era IR4.0 kini, ini kerana media cetak memerlukan kos yang tinggi jika dibandingkan dengan portal berita dalam talian yang dilihat telah menjadi sumber berita utama pembaca di Malaysia kerana tiada sebarang bayaran dikenakan dalam mendapatkan maklumat.

Hakikatnya, penyediaan berita dan maklumat berbentuk serius bukan percuma. Ia adalah hasil karya wartawan institusi yang kukuh.

Hasil karya yang membantu pembaca membuat keputusan dan membentuk masyarakat.

Sebagai institusi yang sudah lama ditubuhkan dan kukuh, media cetak merupakan penyampai maklumat atau berita yang diperlukan masyarakat.

Akhbar tetap menjadi wadah terpenting masyarakat. Akhbar arus perdana misalnya adalah sumber maklumat sahih untuk masyarakat.

 

JURUSAN MASSCOMM TIDAK JAMIN MASA DEPAN? 

Profesor di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Massa, Universiti Teknologi (UiTM) Shah Alam, Datuk.Dr Ahmad Redzuan Abd Rahman berkata IR4.0 tidak sama sekali akan membunuh Masscomm.

Katanya, IR4.0 berkembang dengan adanya Masscomm ianya saling memerlukan, kerana MassComm itu luas definisinya dan pemahaman terhadap apa itu MassComm perlu lebih mendalam dan tidak bersikap semberono dalam mengeluarkan kenyataan yang dilihat tidak mempunyai signifikan, kewartawanan khusunya jika ia dipacu seiring dengan arus kemodenan yang semakin hari semakin canggih, maka ia akan terbit dalam bentuk yang baharu seperti akhbar digital di alam maya.

“Manakala dari segi pendidikan ianya seharusnya dilihat dari pelbagai perspektif berbeza dan harusnya ada pro dan kontra, walaubagaimanapun dengan penambahbaikan teknologi yang ada kini dan dengan wujudnya kebolehan yang tiada limit, pendidik juga perlu bergerak laju dalam memajukan diri untuk mendidik pelajar jurusan berkenaan.

“Teknologi baru akan mencipta kaedah peluang baharu yang dilihat relevan dengan jurusan terbabit.

“Dalam bidang pendidikan pula, kita perlu mengajar pelajar untuk mengasah bakat yang sedia ada dan tidak melepaskan peluang yang di depan mata untuk lebih maju khususnya dalam bidang MassComm ini,” jelasnya ketika dihubungi MelakaKini.

Mengulas lanjut, manusia dan cara kehidupan akan sentiasa berubah, namun naluri dan keperluan asas akan terus sama tanpa banyak perubahan.

“Manusia akan tetap memerlukan manusia yang lain dalam kehidupan ini, namun cara manusia memenuhi kehendak dan keperluan itu akan berubah begitu juga dengan sistem pendidikan dalam jurusan MassComm ini walaupun akan berubah namun asasnya tetap sama,” jelasnya.

 

MEDIA CETAK

Manakala bagi bekas Pelajar Sarjana Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam, Aris Abdul Rahman melihat masscomm itu adalah satu kaedah komunikasi dan kehadiran IR4.0 adalah sebagai pelengkap terhadap kaedah itu untuk menjadi lebih baik dari masa ke semasa.

Beliau yang juga Pengarah Sumber Manusia Khidmat Pengurusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia berkata, fungsi media cetak yang dilihat tidak relevan adalah satu perkara yang tidak munasabah.

Katanya, media cetak masih relevan dan akan kekal relevan.

Sebagai contoh jelasnya, kawasan pendalaman yang capaian internetnya tidak memuaskan seperti di Grik, Royal Belum di Perak atau Gua Musang di Kelantan.

“Di kawasan terbabit, media cetak dilihat masih relevan untuk penduduk di situ mengetahui berita-berita terkini yang berlaku di luar kawasan mereka.

“Penggunaan media cetak ini kalau kita belajar sejarah dulu, apabila berlakunya sesuatu yang tidak diingini seperti darurat, capaian internet tiada dan elektrik dipotong misalnya, penggunaan media cetak adalah keperluan untuk mengetahui berita-berita semasa dan apa yang terjadi dalam dan luar negara,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, fungsi media cetak tidak dapat dinafikan dalam penyediaan kandungan medium lain.

Tanpa kandungan berita daripada media cetak, jelas beliau, kandungan media sosial atau portal berita dalam talian akan menjadi sepi.

Katanya, isi kandungan berita dan isu semasa yang memenuhi media sosial atau portal berita dalam talian diolah daripada hasil penulisan media cetak.

Malah, apa yang tular dalam portal berita dalam talian, besar kemungkinan isinya bermula daripada apa yang telah dilaporkan oleh institusi yang kukuh ini.

Ringkasnya, trend yang dihadapi industri akhbar hari ini ialah secara digital (internet).

Pengamal media telah menyedari perkara ini sejak bermulanya ledakan maklumat di seluruh dunia dengan akses kepada internet lebih luas dan gajet elektronik yang semakin canggih serta murah di pasaran.

CATEGORIES
TAGS