Masalah nelayan Klebang sejak lebih 10 tahun diselesaikan

Masalah nelayan Klebang sejak lebih 10 tahun diselesaikan

Akhirnya selesai

KLEBANG 2 Dis. – Nelayan-nelayan di Klebang yang sebelum ini berdepan kesukaran mencari rezeki ekoran masalah sungai cetek kini boleh menarik nafas lega apabila ia bakal diselesaikan sedikit masa lagi.

Masalah yang berlaku di Sungai Klebang itu bukanlah suatu isu yang baharu, sebaliknya ia sudah berlaku lebih 10 tahun, namun tidak pernah diselesaikan oleh kerajaan terdahulu.

Difahamkan, sebelum ini, kira-kira 30 nelayan yang berdaftar di pengkalan itu berdepan kesulitan untuk turun ke laut dan pulang ke pangkalan berikutan sungai yang terlalu cetek terutama ketika air surut.

Bagaimanapun, isu berkenaan telah sampai ke pengetahuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Gue Teck yang mana, beliau segera bertindak mengadakan perbincangan bersama agensi-agensi kerajaan negeri dan pengusaha tambakan laut untuk membantu masalah nelayan.

Hasil perbincangan itu, akhirnya pihak-pihak terbabit telah bersetuju untuk mendalamkan Sungai Klebang sedalam empat meter, sebelum menyambung semula kerja-kerja tambakan laut.

Gue Teck yang ditemui ketika meninjau kawasan muara sungai berkenaan berkata, projek mendalamkan sungai itu sudah bermula sejak dua minggu lalu dan mungkin dijangka siap pada minggu hadapan.

“Saya difahamkan kerja-kerja mendalamkan sungai ini tidak pernah dilakukan sejak lebih 10 tahun dahulu yang mana ia telah menjejaskan nelayan yang ada sejak sekian lama.

“Oleh sebab itu, kerajaan negeri telah berusaha untuk menyelesaikan masalah ini dan sekarang kerja-kerja menggorek lumpur untuk mendalamkan Sungai Klebang ini sudah pun bermula.

“Kita berharap usaha yang dilakukan ini dapat menggembirakan nelayan, khususnya di Jeti Sungai Klebang ini kerana kebanyakan mereka banyak bergantung harap kepada pendapatan daripada hasil laut,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas tentang rancangan penyambungan Jeti Sungai Klebang, Gue Teck berkata projek berkenaan sudah pun diluluskan dan sepatutnya bermula pada penghujung tahun ini.

Namun, ujarnya, kerja-kerja penyambungan jeti itu terpaksa ditangguhkan kerana terdapat permintaan daripada nelayan yang mahukan penyambungan itu mengambil kira bukan sahaja aspek memanjangkan jeti, tetapi juga melebarkannya bagi tujuan menyidai jaring.

Sementara itu, Pengerusi Jeti Nelayan Sungai Klebang, Md Said Adam yang ditemui pada sesi tinjauan itu merakamkan ucapan terima kasih di atas usaha yang dilakukan Gue Teck dan kerajaan negeri untuk membela nasib nelayan.

“Saya mewakili nelayan-nelayan di kawasan ini berterima kasih kepada Datuk Gue Teck dan kerajaan negeri yang telah berusaha untuk melaksanakan kerja-kerja mendalamkan sungai yang tidak pernah dilakukan sejak lebih 10 tahun. Diharap usaha-usaha membela nasib nelayan akan terus dipandang serius bagi membangunkan sektor ini ke arah yang lebih baik,” katanya

CATEGORIES
TAGS