Malindo Air buka laluan baharu ke Langkawi & Kota Bharu

Malindo Air buka laluan baharu ke Langkawi & Kota Bharu

BATU BERENDAM 5 Feb. – Syarikat penerbangan Malindo Air mengumumkan dua laluan baharu ke Lapangan Terbangan Antarabangsa Melaka (LTAM) iaitu dari Kota Bharu, Kelantan dan Langkawi, Kedah ke Melaka.

Pengumuman itu diberitahu menerusi majalah rasminya, MalindoMag yang boleh dilihat di atas talian di laman rasminya.

Menurut kenyataan di majalah itu, laluan terbabit yang bermula pada 1 Mac depan akan beroperasi tiga kali seminggu iaitu pada hari Rabu, Jumaat dan Ahad.

“Penerbangan 0D1300 akan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Pertra pada jam 11.55 pagi dan dijangka tiba di LTAM pada 1.30 petang.

“Manakala, penerbangan OD1301 akan berlepas dari LTAM pada jam 1.50 petang dan dijangka tiba di Kota Bharu pada jam 3.15 petang,” kata kenyataan dari majalah terbabit.

Mengulas lanjut, bagi laluan kedua pula, OD1351 akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 12.05 petang
dan dijangka tiba di LTAM pada jam 1.45 petang.

“Diikuti, penerbangan pulang dari Melaka ke Langkawi pada jam 2.05 petang dan dijangka tiba pada jam 3.45 petang mengikut penerbangan OD1350,” katanya.

Bersempena Tahun Melawat Melaka 2019 (TMM 2019) usaha ini antara kerjasama agresif yang dilaksanakan bagi menarik jutaan pelancong dari luar dan dalam negara ke Melaka, berbanding laluan sedia ada iaitu  Melaka-Pulau Pinang serta Melaka-Pekan Baru.

Kerajaan negeri menerusi Exco Pelancongan Warisan dan Kebudayaan, Datuk Jailani Khamis mensasarkan 20 juta pelancong ke Melaka tahun ini menerusi kempen TMM 2019.

CATEGORIES
TAGS