Makara wujud 400 tahun awal sebelum pemerintahan Melaka?

Makara wujud 400 tahun awal sebelum pemerintahan Melaka?

Nusantara penuh dengan bahan sejarah kejutan.. Misteri...

GELARAN ‘Venice of The East’ menjadikan Melaka pada suatu ketika dahulu sebagai pusat perdagangan dunia yang cukup gah dengan kekayaan dek kesinambungan ekonomi yang mampan.

Zaman Kesultanan Melayu Melaka ketika itu menjadikan negeri ini menjadi bualan dunia malah pelbagai barangan termasuk rempah ratus serta pelbagai lagi diperdagangkan dan menjadi tempat persinggahan pedagang pada era tersebut.

Berbalik merentasi masa, beberapa sarjana berpendapat wujudnya sebuah kerajaan telah wujud sebelum pemerintahan itu malah ada mengatakan kerajaan epik Srivijaya telah bertapak di lokasi utama yang sama pada pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.

Kewujudan artifak ‘Makara’ yang ditemui di negeri ini menjadikan ianya tanda tanya apakah nilai kewujudan arca tersebut pada zaman berkenaan malah ada yang mengatakan ianya juga telah bertapak di lokasi pemerintahan pada zaman berkenaan.

Menurut laporan terbitan Institut Tun Perak mengatakan, Makara yang ditemui di dinding berdekatan Persimpangan Jalan Kota, Banda Hilir pada 1974 itu merupakan penemuan arkeologi yang terpenting di negeri ini.

Makara yang diletakkan di dinding berdekatan Bangunan Stadhuys itu dipercayai telah dialihkan pada zaman penjajahan Portugis ketika itu di mana pada asalnya bertapak di Bukit St. Paul.

Ada fahaman sarjana berpendapat, Makara itu bertapak di bukit tersebut yang juga terdapat tapak candi lama di kawasan itu sebelum gereja yang terdapat di Bukit St. Paul dibina.

Berkemungkinan besar terdapat tapak berupa candi di atas Bukit St. Paul sebelum terbinanya gereja pertama yang direkodkan iaitu Gereja Hermitage Of Our Lady Of Grace yang dibina oleh Duarte Coelha pada 1521 Masihi.

Pada kajian terbitan agensi itu yang dahulunya dikenali sebagai Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (IKSEP) pada 2011 itu menyatakan candi berkenaan berkemungkinan telah diketahui kewujudannya oleh pemerintahan penjajah masa itu dan kemudiannya telah dimusnahkan oleh Portugis yang pada masa sama datang ke Nusantara bagi menyebarkan agama Kristian.

APA ITU MAKARA?

Menurut fahaman agama Hindu, Makara boleh ditafsirkan sebagai makhluk yang ganas malah diletakkan dibahagian tangga untuk menaiki candi.

Makara juga dikenali sebagai makhluk penolak bala dan selalunya berpasangan dan digambarkan sebagai makhluk yang mempunyai imej seperti buaya atau gajah dan kadangkala menggabungkan kedua imej tersebut.

Makara dipercayai berfungsi sebagai ‘Vahana’ atau makhluk tunggangan kepada Gangga iaitu Dewa Sungai Gangga dan ‘Varuna’ iaitu Dewa Langit dan Air berdasarkan fahaman mitologi Hindu.

Ia kadangkala digambarkan sebagai lambang kuasa kepada ‘Kamadeva’ iaitu Dewa kasih sayang dan hawa nafsu serta dilukis pada bendera ‘Kama’ (wajah) yang lebih dikenali sebagai ‘Karkadhvaja’.

Malah, menurut kalendar Hindu, Makara dikenali sebagai ‘Capricorn’ iaitu salah satu daripada 12 bintang dalam kalendar aestrologi.

Candi pula dibina di atas bukit disebabkan kawasan yang tinggi sesuai dengan mitologi Hindu yang menganggap sebagai melambangkan kosmos Gunung Mahameru yang menjadi tempat tinggal para dewa-dewa.

MAKARA DAN PEMERINTAHAN MELAKA

Ada yang berpendapatan bahawa candi yang telah wujud sebelum zaman kesultanan Melayu Melaka telah wujud sejak 300 hingga 400 awal daripada pemerintahan Melaka.

Selain itu, pada pembukaan Melaka ianya telah dimusnahkan oleh Parameswara yang ketika itu telah dikenali sebagai Iskandar Shah setelah membuka negeri ini pada tahun 1400 Masihi.

Dalam pada itu, pelbagai persoalan lain telah pun wujud dengan penemuan Makara di negeri ini malah penemuan itu juga hampir sama dan seusia dengan penemuan Makara di Kedah dan beberapa negara di Nusantara seperti Jawa dan Sumatera.

Malah, hasil penemuan itu mendapati penemuan Makara di Melaka dan Makara di Kedah agak sama dari segi gaya dan ukiran motifnya.

Ada yang berpendapat, adakah Makara yang ditemui di negeri ini berasal daripada Kedah selain, ada juga yang memepercayai bahawa Istana Melaka juga terletak di atas bukit berkenaan.

Ada kemungkinan Makara ini diletakkan di dalam istana sebagai lambang perlembagaan kuasa Raja Melaka pada ketika itu.

Malah ada juga pendapat mengatakan Makara yang ditemui itu dibawa sendiri oleh Parameswara ketika beliau sudah berkuasa di Melaka pada ketika itu.

Penemuan artifak bersejarah ini amat penting untuk diamati dan dinilai bagi mengetahui asal-usul kita mengikut susur galur arus peredaran masa.

Apa yang penting, penemuan ini perlu diperluaskan sejarahnya di negeri ini malah perlu didedahkan kepada generasi muda agar menghargai nilai sejarah yang semakin hampir terkubur lama.

Melaka masih kekal sebagai Bandar Warisan Dunia, namun kita perlu ingat adakah warisan itu mampu dikekalkan untuk hari esok?, jangan hanya terpalit dan tercalit di hati hari ini esok nan lusa kita lupakan lagi. Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-62!

 

Sumber Jurnal IKSEP 2011, MAKARA di Melaka dan Perbandingannya dengan Jumpaan Makara-Makara Lain di Kedah, Sumatera dan Jawa

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES