Majoriti rakyat Melaka sokong PH

Majoriti rakyat Melaka sokong PH

AYER KEROH 11 Jan. – Sejumlah 61 peratus rakyat Melaka berpuas hati dengan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di Melaka yang mengambil alih tampuk kepimpinan pada Mei tahun lepas.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kajian itu yang dibuat pengkaji bebas menunjukkan majoritinya berpuas hati dengan inisiatif baharu dilaksanakan kerajaan PH melalui perlaksanaan bas percuma, parkir percuma setiap hari minggu, perlanjutan tempoh tanah dan lain-lain.

Katanya, bagi meningkatkan jumlah peratusan dan memenuhi aspirasi rakyat, kerajaan negeri bercadang menambah lagi inisiatif baharu yang memberikan impak positif terhadap penduduk Melaka terutama ‘rumah berkat’ kini berada di fasa akhir.

“61 peratus berpuas hati dengan inisiatif dilaksanakan kita tahun lepas dan tahun ini pelbagai inisiatif akan dinikmati rakyat yang dijangka bermula Februari depan.

“Bermula dengan rumah berkat yang kini dalam fasa akhir supaya golongan muda yang baru mendirikan rumah tangga mampu menikmati manfaat secara terus dan berharap kesemua yang dilaksanakan memberi kesan positif kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Seri Negeri, hari ini.

Dalam pada itu, Adly turut memberitahu kerajaan negeri berjaya menyelesaikan 85.81 peratus dari 7,200 aduan rakyat yang diterima sepanjang tahun 2018.

Jelasnya, kesemua aduan diterima melalui pelbagai medium termasuk Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara pada setiap Jumaat, laman sosial Facebook, WhatsApp dan lain-lain.

“Tahniah kepada semua agensi yang terlibat dan bakinya kira-kira 14 peratus itu melibatkan isu kewarganegaraan yang sukar bagi kerajaan negeri campur tangan. Bagaimanapun, kita cuba bantu selesaikannya,” katanya.

CATEGORIES
TAGS