MAIM peruntuk RM3.015 juta bantuan sesi persekolahan 2020

MAIM peruntuk RM3.015 juta bantuan sesi persekolahan 2020

Kuasailah pendidikan nescaya kehidupan kita akan lebih baik

AYER KEROH 3 Dis. – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah memperuntukkan sejumlah RM3.015 juta sebagai bantuan persekolahan untuk sesi persekolahan 2020.

Setiausaha MAIM Azman Aziz berkata peruntukan tersebut untuk diagihkan kepada 10,050 orang penerima yang terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Beliau berkata jumlah bantuan tersebut meningkat sebanyak 13.26 peratus daripada peruntukan tahun 2018 yang berjumlah RM2.661 juta.

“Di samping bantuan ‘Jom Anak-anak Kita Ke Sekolah’ ini, MAIM juga memberi bantuan tunai secara bulanan kepada setiap anak asnaf yang bersekolah rendah dan menengah sebanyak RM50 seorang bagi meringankan beban perbelanjaan penerima bantuan Zakat Melaka,” katanya di majlis perasmian program ‘Jom Anak-anak Kita Ke Sekolah’ di Melaka Mall di sini semalam.

Perasmian telah disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Hasim Hasan yang mewakili Ketua Menteri, Adly Zahari.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Abdul Halim Ismail dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Mohd Rafee Ibrahim.

Menurut Azman program ‘Jom Anak-anak Kita Ke Sekolah’ adalah bantuan tahunan yang disediakan oleh MAIM untuk membantu penerima bantuan Zakat Melaka menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka.

Bantuan sedemikian, katanya adalah untuk menjamin agar tidak berlaku masalah keciciran pendidikan di kalangan anak-anak asnaf di Melaka.

“MAIM telah bersetuju untuk menetapkan kadar bantuan pakaian sekolah bagi tahun ini adalah RM300 kepada setiap seorang anak yang bersekolah rendah dan menengah.

“Hal ini diambil kira berdasarkan nilai yang munasabah bagi kadar harga semasa barangan pada masa ini,” jelasnya.

Seramai 30 orang penerima dari seluruh Melaka terlibat dalam program semalam yang buat julung kalinya diadakan di Melaka Mall bagi keselesaan mereka yang terlibat.

Untuk rekod 10,050 orang penerima yang dinyatakan di atas melibatkan 242 orang penerima daripada asnaf fakir, 9,008 penerima daripada asnaf miskin dan baki 800 penerima merupakan asnaf mualaf.

CATEGORIES
TAGS