MAIM dan YWM meterai perjanjian pelaksanaan wakaf tunai

MAIM dan YWM meterai perjanjian pelaksanaan wakaf tunai

Marilah kita berwakaf

BUKIT PALAH 28 Nov. – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) hari ini menandatangani perjanjian usahasama pelaksanaan wakaf tunai sempena program Wacana Kesedaran Wakaf 2019 Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung di Auditorium Masjid Al-Azim di sini.

Melalui usahasama tersebut MAIM akan turut menggunakan kod potongan gaji ‘4474’ yang diberikan kepada YWM bagi menggalakkan penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini untuk berwakaf secara bulanan.

Setiausaha MAIM, Azman Aziz menandatangani bagi pihak MAIM manakala YWM telah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Abdul Halim Mat Yusop sambil disaksikan Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Fuziah Salleh.

Selain itu MAIM turut melancarkan skim I-Wakaf iaitu kaedah berwakaf secara online melalui aplikasi Senang Pay secara sekaligus atau potongan tetap bulanan.

Wakaf tunai tersebut akan dibadalkan kepada pewujudan wakaf yang kekal melalui empat saluran iaitu wakaf pendidikan; wakaf kesihatan; wakaf masjid, madrasah dan perkuburan; dan wakaf pembangunan am.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya Mohd Sofi yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kemudahan Awam Negeri Melaka berkata kaedah potongan gaji Wakaf Tunai Melaka melalui kerjasama MAIM dan YWM berpotensi menjadikan amalan berwakaf dihayati dan diamalkan di peringkat lebih mikro.

Beliau berkata masyarakat Islam boleh sama-sama mengambil bahagian untuk membangunkan hartanah wakaf melalui caruman sekali gus ataupun secara bulanan pada nilai serendah RM2 sahaja.

“Pihak MAIM disasarkan untuk dapat mengutip sebanyak RM30 juta bagi tahun 2020-2021 melalui pelancaran pelbagai skim pewakafan bagi merealisasi hasrat pembangunan wakaf yang holistik,” katanya.

Kerajaan negeri, katanya juga akan menggalakkan 5300 penjawat awam negeri untuk membuat caruman wakaf secara bulanan.

Menurut Mohd Sofi selain mengelolakan hartanah wakaf seluas 430 ekar di seluruh negeri, MAIM juga sedang mengelola wakaf dalam bentuk tunai melalui Saham Wakaf Melaka dan Wakaf Tunai Melaka berjumlah RM6 juta yang terkumpul dalam tempoh tiga tahun terakhir bagi pelbagai tujuan am dan khas.

Pihak MAIM juga, katanya secara konsisten sedang menambahbaik pengurusannya dalam memastikan semua aset wakaf yang ditadbir dapat memberi hasil dan pendapatan yang signifikan.

“Ini dibuktikan dengan berkurangnya jumlah premis yang kosong pada 2019 iaitu hanya 15 lot sahaja berbanding 47 lot premis pada tahun 2018,” jelasnya.

CATEGORIES
TAGS