LTAM ikut piawaian trafik udara

LTAM ikut piawaian trafik udara

Aliran trafik udara LTAM terus efektif di bawah seliaan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)

KEWUJUDAN Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di negeri ini mendapat perhatian pelbagai pihak sementelah Melaka satu-satunya negeri yang mempunyai lapangan terbang dikatakan bertaraf antarabangsa.

Secara rasionalnya, LTAM mempunyai pelbagai potensi bagi membantu meningkatkan ekonomi negeri ini, bagaimanapun, pelbagai tanda tanya timbul mengenai perkhidmatan disediakan khususnya melibatkan aliran trafik, kemampuan ia beroperasi dan sebagainya.

Hanya mengambil jarak kira-kira 130 kilometer ke Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terletak di Sepang, bukan mustahil bagi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memastikan aliran trafik penerbangsan berjalan lancar dan mengikut jadual ditetapkan.

Menurut Pengurus LTAM Malaysia Airports Sdn. Bhd., Mohamad Nazri Mat Khalib, trafik udara dibawah seliaan CAAM sentiasa diuruskan dengan baik mengikut piawaian telah ditetapkan.

“Mereka bertanggungjawab menjalankan audit pensijilan kepada semua lapangan terbang termasuk LTAM bagi memastikan piawaian sentiasa dipatuhi khususnya berkaitan aliran trafik udara.

“Justeru, tidak perlu ragu-ragu bagaimana aliran trafik udara di LTAM beroperasi,” katanya.

Jelas Mohamad Nazri, pihaknya juga sentiasa berusaha menambah bilangan penerbangan bagi memastikan perkidmatan lapangan terbang ini mampu berfungsi secara lebih meluas.

“Syarikat Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) melalui unit pemasaran di ibu pejabat sentiasa bekerjasama dengan Airlines sedia ada bagi menambah laluan-laluan baharu ke Malaysia, samada melalui KLIA/ KLIA2 dan 19 airport lain termasuk Melaka.

“Malah, Melaka Air Sdn.Bhd (MASB) turut menyokong mana-mana airline yang ingin menambah laluan baharu selain airline baharu yang ingin beroperasi di negeri ini.

“Tetapi ini tidak akan sesekali menganggu aliran trafik sedia ada kerana kita mempunyai Sistem Pengurusan Kualiti lSO9001:2015 dan ISO 14001:2018 dan sebagainya sama ada secara berkala ataupun tidak berjadual mengikut piawaian ditetapkan.

“Pensijilan itu sekali gus memerlukan MAHB menyediakan jadual penyelenggaraan LTAM dengan lebih efektif,” katanya.

Berkongsi mengenai waktu operasi penerbangan disediakan, ujarnya waktu operasi dijadualkan adalah dari 7 pagi ke 7 petang.

“Buat masa sekarang operasi penerbangan komersil bertumpu di antara jam 11 pagi hingga 3 petang.

“Manakala waktu lain adalah untuk operasi akademi penerbangan International Aero Training Academy (IATAC) dan Malaysian Flying Academy (MFA),” katanya.

Bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat setempat dan pelancong menggunakan perkhidmatan LTAM, MASB Melaka turut menjalankan kerjasama dengan Tourism Melaka.

“Terdapat satu ruang kaunter di dalam ‘airport’ untuk tujuan promosi. Kita yakin usaha ini dapat membantu meningkatkan lagi kepercayaan orang ramai menggunakan perkhidmatan kami khususnya untuk pergi ke laluan-laluan disediakan,” katanya.

 

KESELAMATAN PENGGUNA

Mengulas mengenai keselamatan LTAM, kata Mohamad Nazri, sebelum ini kerajaan negeri pernah memberi jaminan bahawan LTAM selamat digunakan bagi pendaratan dan penerbangan pesawat.

“Selain penerbangan syarikat Malindo Air yang telah memulakan operasi bermula Mac lalu, syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia juga bakal menyediakan laluan baharu ke negeri ini menerusi pesawat Airbus A320 bermula Julai ini.

“Ini sekali gus memberi keyakinan mengenai tahap keselamatan penumpang termasuk pesawat lain yang berkapasti seumpama itu,” katanya.

Menurutnya, sudah tentu keselamatan penumpang menjadi keutamaan pihak terbabit, memandangkan untuk membuat sebarang keputusan beroperasi di lapangan terbang berkenaan mereka akan melalui pelbagai proses termasuk proses percubaan pendaratan dan sebagainya.

 

KEMUDAHAN DISEDIAKAN

Penambahan laluan-laluan baharu dari semasa ke semasa pastinya memerlukan LTAM menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pengguna mereka termasuk dari aspek kemudahan.

Mohamad Nazri berkata, kemudahan di airport adalah mencukupi bagi keadaan kuantiti penumpang buat masa sekarang.

“Perkara ini mengikut kepada keadaan semasa, jika terdapat pertambahan pengguna, sudah tentu ia akan ditambah baik mengikut keperluan mereka.

“Kemudahan sedia ada termasuk ATM, kaunter pertukaran wang asing, kafe, bilik penyusuan, lot-lot kedai, tandas awam dan sebagainya.

“Setakat ini kita tidak mendegar rungutan dari pengguna dan jika ada kita akan membuat pantauan dan pembaikkan,” katanya.

Pada masa sama, agensi kerajaan turut bertanggungjawab membantu memudahkan pengguna di sini.

Antara agensi terlibat adalah imigresen, kastam, jabatan kesihatan, Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

 

Jangan terlepas berita terkini Negeri Melaka dengan Like dan Follow Facebook Page MelakaKini atau sertai dan lontarkan isu anda di Group MelakaKini untuk kami ketengahkan.

CATEGORIES
TAGS