Lima ‘Taman Hijau’ menarik di Melaka

Lima ‘Taman Hijau’ menarik di Melaka

Rasai pengalaman 'Taman Hijau' di Melaka. Sekali sekala kena hirup udara segar pastu kenali flora fauna kan?

KALAU melawat ke Melaka, memang tidak sah kalau tidak berkunjung ke bangunan bersejarah.

Tapi sebenarnya Melaka bukan sahaja hebat dengan bangunan bersejarahnya, banyak lagi tarikan lain yang tidak kurang hebatnya untuk dikunjungi.

Melaka sebenarnya kaya dengan keindahan flora faunanya yang menyebabkan pelancong perlu tinggal di negeri ini lebih daripada tiga hari.

Nak tau port mana kat Melaka yang boleh buat santai-santai sambil dikelilingi flora dan faura? jom follow.

 

TAMAN BOTANIKAL AYER KEROH

Dahulunya dikenali sebagai Hutan Rekreasi Ayer Keroh sebelum dijenamakan semula sebagai Taman Botanikal Ayer Keroh.

Terletak bersebelahan Lebuh Ayer Keroh, taman berkeluasan 359 hektar ini sentiasa menjadi lokasi idaman buat ‘joggers’ melatih diri.

Tak kurang juga yang datang untuk mencuci mata, mana tahu boleg dapat jodoh di taman ini.

Dibuka pada April 1984, taman ini menyediakan suasana tenteram dan dikelilingi hutan tropika seolah-olah berada dalam hutan sebenar.

Kalau malas berjogging, jangan risau, khidmat basikal turut diberikan dengan kadar bayaran berpatutan.

 

PAYA LEBAR ECO ADVENTURE

Yang ini adalah lokasi wajib buat penggemar pelancongan agro.

Menyelusuri Sungai Paya Lebar sambil dikelilingi kehijauan alam, pasti membuatkan para pengembara teruja.

Pengembaraan atas perahu dikelilingi hutan ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik, bukan sahaja menyelusuri sungai tetapi ada beberapa penceritaan di setiap perhentian.

Antaranya Sabak Arang yang berusia lebih 100 tahun dan diakui menghasilkan kualiti kayu arang terbaik di Asia, Taman Lokan dan lain-lain.

 

TAMAN SERIBU BUNGA

Terletak bersebelahan Kompleks Seri Negeri, Taman Seribu Bunga yang berkeluasan 5.3 hektar ini dibuka pada 1 Julai 2007.

Menyajikan pemandangan berwarna-warni, sesuai buat penggemar bunga untuk bergambar bersama tumbuhan kegemaran.

Awas, jangan petik, nanti ada yang perasan.

Kawasan ini juga kerap dijadikan lokasi penggambaran pra-perkahwinan dan model-model untuk menampakkan kelainan dalam foto.

Sambil pusing-pusing di taman itu, boleh juga singgah di kafe untuk membasahkan tekak dan menjamu selera.

 

TAMAN BUAYA

Kalau anda penggemar haiwan buas, lokasi ini mungkin destinasi paling sempurna buat anda.

Terdapat puluhan ekor buaya termasuk seekor buaya tembaga jantan yang diberi nama ‘King.’

King diberi nama oleh kakitangan taman itu kerana terlalu ganas dan terpaksa dipisahkan daripada kelompok buaya lain.

Tahap keganasannya hinggakan buaya lain dikatakan takut hendak berendam bersamanya.

Taman Buaya turut menawarkan aktiviti memberi makan kepada buaya yang dipelihara mengikut masa tertentu, serta melihat adegan cumbu cumbuan antara manusia dan buaya.

Selain buaya, reptilia lain yang turut terdapat di taman itu ialah pelbagai spesies ular.

 

ZOO MELAKA

Selepas ditutup bagi kerja pengauditan dan dibuka semula tahun lalu, Zoo Melaka tampak lebih sempurna dengan keadaan persekitaran dan haiwan yang dijaga rapi.

Kawasan ini sentiasa menjadi tumpuan, terutama pada musim cuti sekolah.

Berkeluasan 54 ekar, kawasan ini menempatkan lebih 1,200 haiwan daripada 215 spesis dan ia adalah zoo kedua terbesar negara.

CATEGORIES
TAGS