Enam maut terlibat kemalangan AMJ-Jelatang

Enam maut terlibat kemalangan AMJ-Jelatang

Kemalangan membabitkan dua buah pacuan empat roda serta sebuah treler tanpa muatan.

ALOR GAJAH 10 Ogos – Enam maut melibatkan dua kenderaan pacuan empat roda dan satu treler terbabas dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Jelatang, di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 9.40 malam tadi mengakibatkan kesemua mangsa maut di lokasi dan seorang cedera parah akibat tersepit.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, kemalangan membabitkan dua buah pacuan empat roda masing- masing Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max serta sebuah treler tanpa muatan.

Katanya, lima sekeluarga menaiki Isuzu D-MAX manakala Mitsubishi Triton dinaiki bapa dan seorang anak perempuan.

“Sebelum kejadian treler dan Isuzu D-Max dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Simpang Ampat manakala Mitsubishi Triton dari arah bertentangan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dinaiki bapa dan anak perempuan terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan pacuan empat roda dinaiki lima sekeluarga,” katanya ketika ditemui dilokasi kejadian.

Asmadi berkata, akibat pertembungan itu, Mitsubishi Triton terbabas ke parit di bahu jalan.

“Enam mangsa termasuk seorang murid dan pelajar sekolah maut dilokasi manakala penumpang Mitsubishi Triton parah.

“Mangsa yang tersepit dibawa keluar dengan bantuan pasukan bomba dan kesemua mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat manakala mangsa yang parah turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 selain identiti mangsa masih belum dikenal pasti.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES