Lebih 4,000 mahasiswa sertai ‘Lets Gather’

Lebih 4,000 mahasiswa sertai ‘Lets Gather’

Fuh ramai...

DURIAN TUNGGAL 11 Sept – Lebih 4,000 mahasiswa dari 52 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Kolej Pengajian di negeri ini menghadiri Program Townhall ‘Lets Gather’ with Menteri Pendidikan Malaysia 2019, Dr. Maszlee Malik.

Program diadakan di Dewan Chanselor UTeM itu merupakan platform bagi menzahirkan aspirasi dan menyebar luas inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada mahasiswa.

Maszlee berkata, ia melibatkan semua pemegang taruh termasuk Universiti Awam (UA), swasta, politeknik, Kolej Komuniti dan Kolej Vokasional di sini.

“Program julung kali diadakan ini merupakan sebahagian usaha penting KPM dalam mendengar dan mengambil suara serta pandangan mahasiswa bagi membentuk sesuatu dasar termasuk inisiatif pendidikan,” katanya pada sesi media selepas program berkenaan berlangsung.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir; Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali dan Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim.

Beliau turut memberi penekanan kepada peserta dan mencabar mereka apa yang akan berlaku kepada golongan pelajar ini dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang.

“Sekiranya mereka tidak merebut peluang menyertai pembangunan teknologi moden yang bergerak pantas, mereka akan ketinggalan dan kerana itu mereka perlu bersedia dari awal,” katanya.

Tambah beliau, KPM juga sedang merangka dan melaksanakan gerak kerja bagi mempersiapkan mahasiswa berhadapan Revolusi Industri 4.0.

“Kita jangka 60 peratus bidang pekerjaan akan didominasi oleh automasi rentetan revolusi tersebut.

“Justeri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu menjana pemikiran lebih kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar,” katanya.

Pada program itu turut diadakan sesi soal jawab antara Maszlee dan mahasiswa terbabit dan sesi penyerahan sumbangan endowmen oleh Xinyi Glass Co. Ltd (HK) kepada UTeM bernilai RM1 juta.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES