Lebih 1,000 penduduk DUN Ayer Keroh terjejas

Lebih 1,000 penduduk DUN Ayer Keroh terjejas

Tindakan pantas diambil segera

AYER KEROH 2 Dis.- Lebih 1,000 penduduk di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh terjejas ekoran banjir kilat akibat hujan lebat petang semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata hujan lebat yang bermula pada jam 5.30 petang semalam dan hanya berhenti pada jam 8.30 malam itu menyebabkan sebanyak 270 unit rumah yang terjejas.

Katanya, mengikut laporan yang diterima Jabatan Meteorologi, paras air hujan setinggi 46.6 milimeter (mm) antara punca banjir kilat tersebut.

“Antara kawasan yang terlibat banjir kilat adalah Lebuh Ayer Keroh ;Taman Muzaffar Shah (Jalan Seri Duta, Pangsapuri Murni Ayer Keroh); Kampung Sungai Putat (Solok Paya, Solok; Benteng, Solok Hilir);Taman Seri Jati;Kampung Tun Razak;Taman Bunga Raya / Persekitaran MMU; Taman Sutera Wangi ; Taman Kerjasama /Taman Bukit Melaka, Bukit Beruang.

“Terdapat juga kenderaan yang mengalami kerosakan akibat ditenggelami air. Bilangan kenderaan yang rosak adalah tidak kurang daripada 25 unit berdasarkan laporan yang diterima oleh Japerun Ayer Keroh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan jam 11.40 malam tadi.

Menurutnya, banjir kilat yang terjadi petang semalam merupakan yang paling serius dalam dua tahun kebelakangan dalam DUN Ayer Keroh.

Katanya, kebanyakan mangsa yang terlibat dalam banjir kilat ini memaklumkan bahawa rumah mereka tidak pernah dilanda banjir kilat dalam tempoh 30 tahun.

“Anggota Japerun Ayer Keroh, MPKK DUN Ayer Keroh, Ahli Majlis MPHTJ serta agensi kerajaan seperti MPHTJ, Pejabat Daerah Melaka Tengah, APM, Bomba, TNB dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Melaka telah pun memberi kerjasama sebaik sahaja makluman banjir kilat diberikan.

“Dalam masa yang singkat, anggota-anggota tersebut telah sampai ke lokasi dan memberi bantuan kepada mereka yang terlibat.

“Penduduk-penduduk yang terlibat dalam banjir kilat ini mohon menghubungi MPKK atau hadir ke pejabat Japerun Ayer Keroh (06 – 318 2660) untuk mendapatkan Borang Bencana,” katanya.

CATEGORIES
TAGS