Lantik exco dari pelbagai parti, simbol muafakat

Lantik exco dari pelbagai parti, simbol muafakat

AYER KEROH 9 Jan. – Ketua Menteri, Adly Zahari menyifatkan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dilantik dari pelbagai parti di bawah Pakatan Harapan (PH) sebagai kerjasama yang menarik dan mementingkan permuafakatan.

Beliau berkata, semua exco berperanan melontarkan pendapat dan pandangan sendiri bagi menyelesaikan isu rakyat melalui pandangan balas sebelum menjadi keputusan.

Katanya, sikap keterbukaan dalam menyelesaikan permasalahan rakyat yang diamalkan melalui gabungan itu menunjukkan kewibawaan dan kelebihan masing-masing dalam saf kepimpinan kerajaan negeri.

“Kejayaan yang besar apabila kita boleh bekerja sebagai satu pasukan, masing-masing ada cara, ada kaedah dan ada sistem tersendiri (mengikut parti), tapi bila kita memimpin kerajaan, kita ada semangat yang sama iaitu muafakat.

“Semua exco punyai kewibawaan masing-masing, exco-exco kanan yang punyai bidang agak penting, mereka boleh melaksanakan tugas lebih baik dan semua exco cukup berperanan,” katanya.

Sementara itu, Adly turut mengakui setakat ini, beliau berpuas hati dengan kerjasama diberikan kakitangan perkhidmatan awam yang sebelum ini telah terbiasa di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Menurutnya, banyak lagi inisiatif-inisiatif akan dilakukan dalam membawa perubahan kepada kerajaan negeri dan memberikan yang terbaik kepada rakyat.

“Kita terbuka, sekiranya penjawat awam mahu mengutarakan pandangan, sama ada suka atau tidak, itulah yang terbaik dan saya terbuka dengan pandangan-pandangan.

“Dan pandangan itu yang kita mencorakkan kita menjadi yang terbaik,” katanya.

CATEGORIES