Lagi kes sesat di hutan Bukit Beruang

Lagi kes sesat di hutan Bukit Beruang

BUKIT BERUANG, 7 Feb – Seorang warga emas termasuk dua wanita 20-an yang sesat hampir sejam di hutan Bukit Beruang, di sini, malam tadi ditemui dalam keadaan selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hamdan Sudin berkata, kesemua mangsa yang tinggal di Semabok itu difahamkan pertama kali melakukan aktiviti pendakian.

MANGSA yang mengalami kecederaan di usung keluar oleh anggota bomba dan diberi rawatan awal oleh EMRS.

“Mereka sekeluarga mendaki ke puncak bukit berkenaan untuk beriadah kira-kira jam 5.30 petang sebelum kita menerima panggilan kecemasan daripada mangsa lelaki berusia 53 tahun pada jam 8.33 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa yang juga tentera berpencen itu turut memaklumkan terdapat dua wanita 20-an bersamanya. Manakala salah seorang daripadanya mengalami kekejangan otot,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa mengambil masa kira-kira 35 minit sebelum kesemua mereka ditemui dalam keadaan selamat pada jam 9.14 malam.

“Perjalanan mereka tersasar ketika sampai di check point tiga dan empat menyebabkan ketika ingin turun mereka tidak temui laluan yang betul.

“Bomba mengambil masa kira-kira 35 minit untuk membawa keluar sebelum dibawa turun menggunakan pacuan empat roda ke kaki bukit,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kekejangan otot diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

 

Oleh: AZURIN SHARIF

CATEGORIES