Lagak hero di jalanan ‘acara’ tamat SPM

Lagak hero di jalanan ‘acara’ tamat SPM

Inilah imej segelintir budak-budak Melayu....amat memalukan!!

KLEBANG 28 Nov.- Ratusan pelajar yang mengakhiri peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semalam menunjuk perasaan ‘bebas’ dengan berlagak seperti hero jalanan di sekitar Klebang dan bandar raya Melaka dengan menunggang motosikal secara melulu tanpa memikirkan pengguna jalan raya lain.

Wartawan MelakaKini meninjau di lokasi berkenaan dan mendapati ratusan pelajar tingkatan lima dari pelbagai sekolah dalam negeri ini ‘mengambil bahagian’.

Terdapat antara mereka yang dilihat mengganggu ketenteraman awam dengan bunyi bising daripada motosikal yang dinaiki dan bergerak di atas jalan raya secara berkumpulan hingga mengakibatkan pengguna jalan raya lain terpaksa memberi laluan kepada mereka.

Tidak kurang juga dengan aksi `lagak ngeri’ yang cuba ditampilkan oleh pelajar berkenaan sehingga menganggu ketenteraman awam.

Terdapat juga beberapa pelajar perempuan yang menunggang motosikal dan menunjukkan lagak ‘samseng’ dan merokok secara terang-terangan di tempat awam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Hassan Basri Yahya berkata, pihaknya mendapat aduan orang awam berkenaan isu terbabit sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain dan tindakan telah diambil.

Katanya, sebanyak 17 saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan terhadap kesemua pelajar lepasan SPM yang ditahan kerana melakukan lagak ngeri semasa menunggang motosikal.

“Apabila disoal mengapa berbuat demikian, ada pelajar yang ditahan menjawab sebagai satu cara untuk mengekspres ‘merdeka’ dan ‘acara’ itu disifatkan sebagai sambutan habis SPM dan tamat sekolah.

“Antara kesalahan yang dilakukan seperti tiada lesen memandu, cukai tamat tempoh dan ubah suai kenderaan,” katanya ketika dihubungi MelakaKini hari ini.

 

CATEGORIES