Kukuhkan pimpinan Amanah negeri  – Adly

Kukuhkan pimpinan Amanah negeri – Adly

Apa yang penting ialah kerjasama

BANDARAYA MELAKA 11 Nov. – Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Melaka, Adly Zahari menekankan supaya ahli-ahli terus memainkan peranan bagi mengukuhkan lagi kepimpinan parti itu di negeri ini.

Beliau berkata, melalui kerjasama Pakatan Harapan (PH), Amanah diberikan tanggungjawab memimpin negeri dan pihaknya sentiasa berusaha sedaya upaya melaksanakan yang terbaik.

“Kita juga sangat menghargaan rakan-rakan dalam PH iaitu DAP, Keadilan dan Bersatu di atas sokongan mereka mempercayai kepimpinan Amanah khususnya di negeri ini.

“Sokongan padu dari mereka sentiasa diperlukan dan Amanah akan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin dari semasa ke semasa,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Konvensyen Parti Amanah Negara (AMANAH) tahun 2019 peringkat negeri Melaka diadakan di Mahkota Hotel di sini, semalam.

Turut hadir Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.

Tambah Adly, dalam tempoh setahun lima bulan sahaja, lebih 68 peratus janji manifesto di negeri ini telah dilaksanakan.

“Kita akan cuba penuhi janji-janji tersebut dan seterusnya memberikan yang terbaik kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Turut diadakan pemilihan kepimpinan Parti Amanah Negara Negeri Melaka.

Kemenangan berpihak pada Adly yang mana beliau kekal menjadi Pengerusi Parti Amanah Negara Negeri Melaka.

Timbalan Pengerusi disandang oleh Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab, Naib Pengerusi 1, Yuhaizad Abdullah dan Naib Pengerusi 2, Datuk Dr. Hassan Baharom.

Manakala Datin Mahani Othman Basir menyandang gelaran Ketua Wanita dan Mohd Khomeini Kamal sebagai Ketua Pemuda.

CATEGORIES
TAGS