Kuiz akaun tingkat pemahaman

Kuiz akaun tingkat pemahaman

Uji pemahaman dan pengetahuan umum dalam bidang perakaunan....


BUKIT BERUANG 10 Julai – Fakulti Perniagaan, Universiti Multimedia (MMU) Kampus Melaka menganjurkan Kuiz Perakaunan Antara Sekolah (AMISAQ) dengan kerjasama Unit Pemasaran dan Pendaftaran MMU (NME) bersama rakan kongsi strategik, badan professional ACCA (Association of Chartered Certified Accountants).

Pengarah pertandingan, Fathiah Hashim, berkata matlamat kuiz ini untuk mewujudkan platfom bagi pelajar-pelajar perakaunan peringkat menengah atas menguji pemahaman dan pengetahuan umum dalam bidang perakaunan.

Menurutnya, ia juga platform menjalin kerjasama antara sekolah, universiti dan badan profesional.

“Di samping itu, pertandingan ini juga memupuk semangat persaingan sihat dalam kalangan pelajar,” katanya.

Tambah Fathiah, pertandingan melibatkan 216 pelajar dari 29 buah sekolah di sekitar Johor, Melaka dan Negeri Sembilan telah mengambil bahagian.

“Mereka perlu melalui pusingan kelayakan dengan menjawab soalan aneka pilihan mengenai subjek perakaunan dalam tempoh 60 minit.

“15 pasukan akan dipilih untuk menyertai pusingan separuh akhir dengan hanya empat pasukan terbaik yang akan mara ke pusingan akhir,” katanya.

Bagi pertandingan ini, 12 pensyarah perakaunan dan 27 pelajar Fakulti Perniagaan MMU terlibat sebagai jawatankuasa pertandingan bagi memastikan acara tersebut memenuhi objektif dan berjalan dengan lancar.

Mereka mendapat bimbingan penasihat program, Timbalan Dekan (Akademik dan Pengantarabangsaan II), Fakulti Perniagaan MMU, Nun Shwu Huey.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perniagaan, Profesor Madya Dr. Gerald Goh Guan Gan, menekankan bahawa kerjasama dengan ACCA memberi peluang kepada pelajar meneroka peluang mereka menjadi akauntan profesional bertaulia.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak sekolah, guru, dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Melaka serta Pejabat Pendidikan Daerah Seremban, Muar, Ledang dan Batu Pahat memberikan sokongan bagi program AMISAQ 2019.

Pada pertandingan itu, Ketua Bahagian Perakaunan, Fakulti Perniagaan, MMU, Azizi Samsudin, turut menyampaikan taklimat ‘Your Journey to Professional Chartered Accountant’ kepada peserta.

SMK Tinggi Batu Pahat, Johor telah dinobatkan sebagai juara AMISAQ 2019 sekali gus melayakkan mereka membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM1,500 beserta sijil.

Tempat kedua menjadi milik SMJK Yok Bin, Melaka diikuti SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar tempat ketiga dan disusuli SMJK Pei Hwa, Tangkak.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS