KPP garis dua peranan ATM pertahan kedaulatan negara

KPP garis dua peranan ATM pertahan kedaulatan negara

Pertahanan negara terus kukuh

KUALA LUMPUR, 2 Dis. – Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentang hari ini menggariskan dua peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan peranan utama dan sekunder.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang membentangkan KPP selepas sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat, berkata menerusi KPP itu ATM memainkan peranan utama dalam melindungi kepentingan negara dan mempertahankan kedaulatan.

Selain itu katanya, ATM juga berperanan menjaga keutuhan wilayah daripada semua ancaman menerusi pelaksanaan operasi maritim, udara, darat dan siber-elektromegnetik.

“Peranan sekunder pula ialah melaksanakan operasi ketenteraan selain peperangan, membantu pihak berkuasa awam dalam penguatkuasaan serta sokongan usaha keamanan sejagat melalui panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

KPP berkenaan julung kali dibentangkan kepada umum berbanding Dasar Pertahanan Negara (DPN) sebelum ini yang lebih bersifat tertutup. Ia menjadi hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 2021 hingga 2030 bagi melindungi kepentingan negara dan mempertahan kedaulatan serta keutuhan wilayah.

Sehubungan itu, Mohamad berkata struktur dan penampilan ATM perlu dibentuk semula untuk menangani persekitaran keselamatan yang sentiasa berubah.

Walaupun kekuatan ATM dikekalkan pada saiz semasa untuk tempoh KPP ini, namun Mohamad yakin penjurusan semula dan pengutamaan akan dilaksanakan untuk memenuhi keperluan masa hadapan.

“Penekanan yang khusus akan diberikan untuk meningkatkan keupayaan bersama serta merealisasikan keperluan melaksanakan operasi dua wilayah merangkumi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, elemen penting dalam pembangunan masa hadapan ATM adalah pelaburan jangka panjang bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan ATM menerusi penyediaan aset serta kelengkapan yang diperlukan, keupayaan tenaga kerja berasaskan pengetahuan dan kemahiran bagi melahirkan askar pintar.

Beliau berkata kerajaan berhasrat membangunkan ATM sebagai angkatan bersepadu, tangkas dan berfokus di bawah lima ciri utama iaitu kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak dalam dua wilayah dan berorientasikan misi. – BERNAMA

 

CATEGORIES