Korban RM60 tarik golongan muda

Korban RM60 tarik golongan muda

Pelbagaikan lagi cara bagi menarik lebih ramai anak muda terlibat dengan aktiviti berfaedah...

SERKAM 13 Ogos – Pengurusan ibadat korban yang disambut umat Islam saban tahun sering dikaitkan dengan golongan berumur, namun berbeza di Kampung Serkam, di sini.

Penglibatan hampir 150 pemuda Kampung Serkam merubah tanggapan ibadah korban itu sendiri apabila membuat tabung untuk Korban Berkelompok dengan membayar ansuran RM60 selama 11 bulan.

Penyelaras Program Korban Berkelompok, Abdul Hafiz Abu berkata penganjuran tahun ini adalah tahun ketiga dia bersama kumpulannya mengadakan korban berkelompok dengan bayaran bulanan RM60 setiap bulan.

Katanya, untuk tahun ini sebanyak 20 ekor lembu dan 14 ekor kambing dikorban yang mana sebahagian dimasak dan selebihnya diagihkan kepada penduduk.

“Kali ini kita bekerjasama dengan pihak masjid dan untuk golongan muda sahaja sebanyak lapan ekor lembu dikorbankan.

“Bagi ibadat korban tahun hadapan, kita akan memulakan bayaran pada bulan September depan sehinggalah Aidiladha tahun hadapan,” katanya.

MOHD SHAFIE

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Korban Berkelompok anjuran Pemuda Kampung Serkam di sini, tadi.

Sementara itu, bagi Mohd Shafie Mohd Saad, 34, pula berkata, inisiatif yang diambil dengan mengenakan bayaran RM60 setiap bulan amat membantu dan menarik ramai golongan muda.

“Apabila ramai orang muda menyertai program sebegini ia menghidupakan suasana silaturahim dan gotong royong kerana dapat berkumpul bersama-sama yang mana perkara sebegini jarang berlaku dan ini yang kita akan teruskan hingga ke anak cucu kita akan datang,” katanya.

ABI SUFFIAN

Inisiatif itu turut mendapat perhatian pemuda luar, Abi Suffian Zainuddin, 26, apabila turut serta dalam program korban berkelompok itu kerana menyifatkan ianya mudah dan sistematik.

“Alhamdulillah, ini kali kedua saya dapat melaksanakan ibadah korban yang mana satu bahagian dikenakan bayaran RM660.

“Kalau hendak keluarkan sekali gus atau menyimpan sendiri agak mustahil tetapi apabila RM60 itu dibayar setiap bulan kepada wakil peserta ia amat mudah.

“Mungkin kalau tidak sertai program ini, saya tidak berpeluang untuk mengambil bahagian dalam ibadah korban,” katanya.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES