KLIP bakal beri manfaat kepada rakyat

KLIP bakal beri manfaat kepada rakyat

KLIP bakal menjadi pemangkin utama dalam sektor ekonomi Melaka suatu hari nanti..

KERAJAAN negeri tidak hanya memfokuskan sektor kemajuan di Bandar Melaka, malah kawasan pedalaman turut menjadi destinasi yang perlu dibangunkan khususnya dalam sektor industri.

Ia termasuklah melaksanakan penentuan sempadan antara Melaka dan Negeri Sembilan yang bakal memberi manfaat kepada rakyat Melaka.

Selain menjadi platform penting bagi meneruskan setiap projek pembangunan di negeri ini.

Adanya usaha itu, ia mampu meneruskan pembinaan projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) yang membawa pelbagai manfaat.

 

PROJEK KLIP BAKAL DIBANGUNKAN SEGERA

Dalam laporan MelakaKini Julai lalu, Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, selepas perjanjian persempadanan selesai, pembinaan KLIP boleh diteruskan dengan mendapatkan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Katanya, proses itu boleh diteruskan dan diharap pada tahun ini projek KLIP mampu dibangunkan.

“Bila persempadanan darat sudah ditentukan, ia mampu mempercepatkan proses seterusnya iaitu memuktamadkan sempadan maritim,” katanya.

Adly berkata, persempadanan itu mampu memberi peluang kepada kerajaan negeri meneruskan projek tertangguh termasuk pembinaan empangan Sungai Jernih selain mambangunkan kawasan eko pelancongan di sekitar sungai berkenaan.

“Pembinaan empangan merupakan projek jangka panjang yang mampu dipercepatkan dan akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Diharap melalui perjanjian ini ia mampu meneruskan pelbagai pembangunan di kawasan ini yang akan mendatangkan pelbagai kebaikan khususnya penduduk di Masjid Tanah,” katanya.

 

KAPAL KEDUA TERBESAR DUNIA BAKAL BERLABUH DI KLIP

Kapal kedua terbesar di dunia bakal berlabuh di KLIP sekali gus melakar sejarah baharu di negeri ini.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif T.A.G. Marine, Datuk Wira Noor Mustafa Kamal Yahya berkata, kapal dikenali sebagai Pengangkut Minyak Mentah Ultra Besar (ULCC) itu antara kapal yang bakal berlabuh di lokasi projek mega yang dibangunkan tidak lama lagi.

Menurutnya, melalui perjanjian yang ditandatangani syarikatnya bersama delegasi Belgium, telah bersetuju bagi membawa masuk kapal gergasi itu ke pelabuhan antarabangsa tersebut.

“Pembinaan KLIP yang dibina nanti dikenali di perairan dunia sebagai sebuah hab besar bagi industri pembekalan minyak bersulfur rendah.

“Kapal ULCC itu juga akan membawa minyak tersebut untuk berlabuh ke pelabuhan itu.

“Industri ini juga akan dijadikan sumber bekalan kepada ratusan kapal pedagang yang lalu di Selat Melaka,” katanya.

Menariknya, Undang-Undang Perkapalan yang ditetapkan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan mulai 1 Januari 2020 kesemua kapal perairan dunia dikehendaki menggunakan minyak bersulfur rendah.

Katanya, Melaka penaung utama dalam industri itu bagi membekalkan sumber bahan bakar kepada kapal-kapal di dunia ini.

“Penggunaan minyak bersulfur rendah pada kapal ini menekankan konsep mesra alam sekitar dan mampu mengelakkan pencemaran, sekali gus menyelamatkan kehidupan laut.

“KLIP dijadikan hub industri minyak merupakan peluang besar di negeri ini dalam menjana pendapatan selain memberi menfaat kepada rakyat serta menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Katanya, KLIP bakal bergelar sebagai pembekal perkhidmatan di dalam arena antarabangsa dengan menggunakan pelbagai kebolehan dan kepakaran yang ada di dalam industri ini.

Pada masa sama, beliau berkata, KLIP juga akan membangunkan kembali kegemilangan Melaka yang dikenali sebagai negeri pelabuhan berabad lalu.

“Ia membawa kepada limpahan ekonomi, malah industri itu juga akan dilaksanakan dahulu secara awal sebelum negara maju lain seperti Singapura.

“KLIP bakal membawa ‘the glory of bygone Melaka’ yang menempa sejarah dunia ke arah industri pelabuhan tersohor yang dikenali tidak lama lagi,” katanya.

 

Rujuk Artikel

CATEGORIES