Klinik Kesihatan Bukit Rambai kini berwajah baharu

Klinik Kesihatan Bukit Rambai kini berwajah baharu

Sekarang lagi teratur

BUKIT RAMBAI 2 Dis. – Klinik Kesihatan Bukit Rambai yang dahulunya dibelenggu dengan masalah kesesakan pesakit yang mahu menerima rawatan dan mendapatkan pemeriksaan kesihatan, kini sudah berwajah baharu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Rambai, Mohd Nasir Mamat berkata, antara pembaharuan yang dilakukan ialah melibatkan pengubahsuaian ruang dan menambah baik sistem yang lebih teratur.

Jelasnya, antara proses ubah suai yang telah dilakukan ialah menjadikan bilik mesyuarat lama klinik kesihatan ini dan menjadikannya sebagai tempat pendaftaran yang baharu, selain turut memecahkan beberapa kawasan khas untuk mengambil ubat dan menunggu giliran.

“Pembaharuan di klinik ini ialah ia melibatkan tempat pendaftaran, ruang menunggu dan farmasi sudah dipecahkan kawasan dan tidak lagi terletak di satu tempat yang sama. Tempat pendaftaran baharu sekarang telah diubah suai dari bilik mesyuarat lama yang mana ia lebih selesa kerana dilengkapi penghawa dingin.

“Selain itu, bangunan lama klinik kesihatan itu juga telah dirobohkan dan kita jadikan ruang menunggu giliran, manakala farmasi dan bilik rawatan masih dikekalkan.

“Dengan apa yang dilakukan ini, masalah kesesakan dan kepadatan pesakit khususnya pada Isnin dan Khamis (pengambilan darah) dapat diselesaikan, dan diharap ia dapat memberi lebih keselesaan kepada masyarakat sekitar,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Nasir berkata, pembaharuan yang dilakukan itu hanyalah satu permulaan memandangkan sudah ada perancangan daripada pihak kerajaan untuk menaik taraf klinik kesihatan ini setelah isu kesesakan pesakit di sini telah disuarakan di Parlimen oleh Ahli Parlimen Tangga Batu, Dr Rusnah Aluai.

“Pembaharuan ini hanyalah bersifat sementara kerana melalui satu kenyataan bertulis daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak kerajaan sedang mengusahakan perolehan sebidang tanah di kawasan ini agar boleh membangunkan Klinik Kesihatan jenis 3.

“Jika semuanya berjalan lancar, sudah pasti penduduk sekitar akan mendapat manfaat yang lebih baik daripada sebuah klinik kesihatan yang lebih besar dan tidak lagi dibelenggu dengan masalah-masalah kesesakan dan perlu menunggu lama seperti sebelum ini.

“Apa pun, terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat terutamanya buat Ahli Parlimen Tangga Batu, Dr Rusnah Aluai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Gue Teck dan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Datuk Dr. Rushidi Ramly dalam merealisasikan klinik kesihatan berwajah baharu ini,” ujarnya.

CATEGORIES