Keunikan rumah tradisional Melaka

RUMAH kayu atau rumah kampung suatu masa dulu boleh dikatakan tidak asing bagi orang Melayu. Reka bentuknya yang begitu unik dan tidak berpaku menjadikan ia lain dari yang lain.

Rumah tradisional yang dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat Melayu bercirikan bumbung atap yang panjang dan tangga batu bersalut jubin.

Menariknya, rumah Melayu punyai tangga batu utama di samping ukiran kayu di bahagian serambi yang unik. Halaman rumah tradisional biasa dihias dengan pelbagai jenis bunga.
Di negeri ini terdapat beberapa buah rumah Melayu lama dinamakan rumah Melayu Melaka dan menjadi salah satu produk pelancongan negeri ini.

Pukau pelancong

Pelancong yang datang melawat negeri ini pasti terpukau dengan keindahan reka bentuk rumah warisan ini yang dijaga rapi dan ada sesetengah rumah tersebut di bawah penjagaan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).
Antara rumah-rumah yang mendapat sambutan ialah Rumah Tradisional Melayu Pondok Kempas, Bukit Godek dan Pengkalan Batu serta Rumahku Muziumku di Padang Temu.

Namun, di sebalik penjagaan rapi rumah yang sudah popular dalam kalangan pelancong, kini masih terdapat rumah Melayu lama dibiar begitu saja.

Bagi sesetengah orang yang masih memelihara rumah warisan tersebut, mereka bukan saja memastikan reka bentuknya kekal, malah turut menghiaskan laman rumah dengan tanaman pokok-pokok bunga.

Inisiatif pemilik rumah seharusnya dipuji kerana bukan saja mencantikkan laman, malah akan menjadikan persekitaran rumah tersebut sentiasa segar.

Rumah tradisional Melaka warnai industri pelancongan

Rumah tradisional Melayu yang mewarnai industri pelancongan Negeri Melaka bukan sekadar membantu tarikan pelancong, malah menjadi simbol kepakaran seni pertukangan masyarakat silam.

Keindahan dan keunikan seni bina rumah-rumah itu juga dianggap sebagai bayangan reka bentuk Istana Kesultanan Melaka pada abad ke-15.

Ada yang menganggap seni binanya bukan sekadar kekuatan kreativiti tukangnya, tetapi juga bersandarkan petua tertentu disesuaikan dengan faktor persekitaran, adat resam, kepercayaan dan penghayatan Islam.

Sebagai lambang kedudukan

Rumah tradisional Melayu dikatakan turut menjadi perlambangan kedudukan pemiliknya termasuk ketinggian peribadi dan jati diri mereka.

Kebanyakan rumah tradisional di Melaka dibina menggunakan kayu terbaik dan terpilih dengan konsep rumah bertiang, berlantai tinggi dari tanah, berbumbung lipat kajang dan bertebar layar.

Kayu yang sering digunakan ialah meranti, cengal, belian, resak, tembusu dan merang.

Punyai fungsi sendiri

Bahagian-bahagian rumah tradisional Melaka, setiap satunya mempunyai pengertian, kegunaan atau fungsi yang tersendiri.
Sebagai contoh, bahagian serambi berfungsi sebagai tempat duduk tetamu, tempat mengadakan perundingan atau permuafakatan yang penting terutamanya dalam menjalankan urusan adat istiadat seperti majlis perkahwinan, kenduri dan juga kematian.

Selepas serambi, terdapat pintu yang menghubungkannya dengan bahagian rumah ibu.
Rumah ibu sering menjadi tempat pelbagai upacara bagi kaum wanita berhubung urusan perkahwinan.
Seterusnya ruang yang dipanggil bilik dalam dijadikan bilik pengantin apabila majlis perkahwinan. Dari rumah ibu, terdapat pintu menuju ke pelantar yang menghubungkannya dengan rumah dapur.

Lambang kepakaran seni bina

Seperti diketahui, sejak zaman dulu lagi, rumah tradisional Melayu Melaka menjadi lambang kepakaran orang Melayu terutama dalam bidang seni bina.
Bagaimanapun, kini hanya terdapat segelintir saja yang masih mengekalkan keaslian rumah Melayu Melaka untuk tatapan umum.

Variasi seni tingkap

Terdapat pelbagai variasi tingkap rumah Melayu Melaka mengikut citarasa dan kepandaian tukang-tukang rumah dahulu.
Kebanyakan tingkap adalah dari jenis yang bukanya ke luar dan punyai kayu kekisi di bahagian bawah tingkap sebagai peredaran udara keluar dan masuk juga berfungsi sebagai palang keselamatan bagi anak kecil.

Selain itu, bahagian tingkap juga tidak terlepas dari hasil kerja tangan yang halus dengan adanya ukiran-ukiran dari jenis tebuk timbul yang punyai motif flora dan geometri yang pelbagai.

Seni bina tangga yang unik

Tangga rumah tradisional Melaka sememangnya terkenal dengan ciri binaannya diperbuat dari batuan konkrit.
Struktur tangga ini bercirkan seni bina negara China dengan dihiasi jubin-jubin berwarna-warni yang dimport dari Eropah seperti Holland dan Jepun.

Penggunaan jubin-jubin berwarna-warni ini menampakkan pertembungan budaya Melayu, Cina dan Eropah, ciri inilah yang menjadi identiti utama seni bina rumah Melayu Melaka.

Pelbagai variasi tangga yang wujud dalam seni bina ini dengan sentuhan tukang-tukang rumah yang mahir pada zaman tradisi. Tangga juga melambangkan status penghuninya pada suatu masa dulu.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS