Categories: MELAKAPELANCONGAN

Keunikan kopi Kafe Calanthe Art

JOE (kiri) dan kakitangan Calanthe Art Cafe menuang air kopi ke dalam cawan buat pengunjung.

KOPI merupakan minuman yang dinikmati di seluruh dunia. Kenikmatan minuman ini dikongsi bersama semua orang dari pelbagai negara dan budaya.

Minat terhadap kopi sudah menapak di Malaysia sejak sekian lama. Jenama kopi tempatan sudah lama memenuhi pasaran.

Menikmati minuman kopi dalam suasana nyaman dan tenang memberi seribu kelainan dan keselesaan buat pengunjung yang pertama kali melangkah ke Kafe Calanthe Art.

Menjanjikan keselesaan yang berlatar moden, namun dekorasi menggamit nostalgia, Kafe Calanthe Art antara pilihan peminat kopi tegar untuk menikmati minuman itu.

Bagi penggemar kopi, ia seperti satu kelegaan dan ketenteraman jiwa sekiranya dapat meneguk secawan kopi, terutama pada waktu stres, ditimpa bebanan kerja, tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, hujan atau dilanda perasaan marah dan gundah-gulana, kopi boleh menjadi penawar paling baik.

Bahkan, jika anda mahu melakukan sesuatu, tetapi perlukan waktu untuk berfikir sejenak, maka berhentilah seketika untuk mencari mana-mana kedai kopi kegemaran anda, tenangkan fikiran dan selepas itu tentukan ke mana hala tuju dan keputusan yang hendak dibuat.

Kopi 13 negeri

JOE menunjukkan biji kopi yang belum dikisar menjadi serbuk.

Pemiliknya, Ng Kim Chew yang dikenali sebagai Joe berkata, keunikan Calanthe Art Cafe ialah ia turut memberi peluang kepada orang ramai merasai sendiri suasana santai sambil menikmati kopi.

Lebih menarik tentang Kafe Calanthe Art ialah di sini peminat kopi tegar boleh menikmati 13 jenis kopi yang mewakili setiap negeri di Malaysia.

Biji kopi dari 13 negeri yang dibakar secara moden dan tradisional yang kemudian dikisar sehingga menjadi serbuk kopi yang punyai identiti tersendiri boleh didapati di Kafe Calanthe Art.

Setiap kopi yang dijual diambil dari pengeluar terbaik serbuk kopi di setiap negeri bagi menjamin rasa dan aroma serbuk kopi itu.

Antara 13 jenis kopi dijual adalah dari Negeri Melaka, Johor, Kedah, Kelantan, Perak, Pahang, Pulau Pinang, dan Selangor.

“Malah, kopi dari Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis, Sabah dan Sarawak turut dijual di kafe tersebut.

“Antara kopi yang mendapat permintaan tinggi ialah kopi Negeri Johor merupakan minuman yang sentiasa menjadi tarikan pengunjung setiap kali datang ke kafe ini.

“Kopi di kopitiam ini diadun sendiri dengan biji kopi terpilih, dimasak dan dicampur bahan herba-herba lain untuk mengekalkan rasa kopi yang asli, aroma yang wangi serta menjadikan kopi sentiasa enak apabila pengunjung menikmatinya,” katanya.

Tarikan kopi Liberica, Robusta, Arabica

Kopi yang dijual di Kafe Calanthe Art asalnya merupakan biji kopi Liberica, Robusta dan juga Arabica.

Kopi Liberica biasanya ditanam di bahagian Selatan Malaysia khususnya di Johor dan kelebihan kopi Liberica terletak pada aromanya yang berbau wangi.

Manakala tanaman kopi Robusta boleh didapati di bahagian Utara Malaysia kerana amat sesuai dengan iklim yang dialami di sebelah utara tanah air meliputi kawasan sekitar Sik, Baling, Yan, Kulim, Jitra, Kuala Nerang, Selama, Lenggong, Grik dan Perlis.

Biji kopi Arabica memiliki ciri-ciri ukuran biji yang lebih kecil dibandingkan biji kopi jenis Robusta, kandungan kafein yang lebih rendah, rasa dan aroma yang lebih nikmat serta harga yang lebih mahal.

Belajar daripada 13 guru

“Saya dan rakan pada mulanya membeli buku tentang jenis-jenis kopi terdapat di dunia dan Malaysia amnya untuk menambah pengetahuan.

“Pada masa sama, apabila kami tahu pembuat kopi terbaik di setiap negeri di Malaysia, kami pergi dan belajar dengan mereka,” ujarnya.

Jelasnya, perkara paling tidak dilupakan ialah seorang pemproses kopi terkenal di Pulau Pinang bertanya saya : “Apa yang saya tahu tentang kopi” saya jawab, saya hanya tahu kopi saja.

“Dia kemudian mengambil segenggam kopi lalu mencampakkan kopi itu dan menyuruh saya mengasingkan biji kopi itu. Saya tidak tahu.

“Dia ambil setiap biji kopi itu lalu menerangkan kepada saya jenis biji kopi dan bagaimana mahu melihat perbezaan. Sejak itu, timbul perasaan kuat untuk saya belajar tentang biji kopi.

Wujudkan muzium kopi

Joe berkata, pada masa akan datang dia mahu menjadikan Kafe Calanthe Art sebagai Muzium Kopi dan tidak akan mengenakan sebarang bayaran.

“Kami mahukan setiap pengunjung ke mari, pulang dengan sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

“Sejarah kopi dunia dan Malaysia sangat panjang dan menarik untuk dikongsikan bersama.

“Selain itu, kami di Calanthe Art Cafe sedang menunggu mesin membakar biji kopi diimport dari Taiwan bagi memperkembangkan perniagaan kami dengan menjual kopi jenama sendiri pada masa akan datang,” ujarnya.

Bagi peminat kopi dan mereka yang mahukan menikmati kelainan sewaktu meluangkan masa bersama, boleh ke Kafe Calanthe Art terletak di Jalan Hang Kasturi di Jonker Walk.

Keunikan Calanthe Art

Menariknya berada di Kafe Calanthe Art, selain ruang makan yang berhawa dingin, pengunjung boleh menikmati kopi di bahagian ruang terbuka yang dihiasi dengan pelbagai barangan terpakai yang dijadikan perhiasan.

Periuk belanga, kuali, cerek lama, basikal lama, television serta pelbagai barangan lama yang mungkin tidak dikenali oleh generasi Y turut terdapat di kafe tersebut, malah cara ia dipamerkan juga menjadikan barangan itu mempunyai nilai tersendiri.

Berdasarkan sokongan lokasi yang strategik, kemudahan laluan dan kawasan letak kereta mencukupi, perkhidmatan diutamakan di samping hidangan berkualiti Bangi Kopitiam sentiasa terbuka kepada pelanggan.

Kata Joe, Kafe Calanthe Art sentiasa terbuka kepada orang ramai, kafe ini sering dijadikan tempat pasangan pengantin mengabadikan memori berharga sepanjang hidup.

“Kami juga tidak mengenakan sebarang bayaran kepada sesiapa yang ingin buat penggambaran di kafe ini kerana kami gembira berkongsi apa yang ada di sini kepada umum,” ujarnya.

Ahmad Fuad Bin Ramdan

Leave a Comment
Share
Published by
Ahmad Fuad Bin Ramdan

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

2 months ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

5 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

5 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

5 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

5 months ago