Kerja pembaikan bumbung rosak akibat ribut disegerakan

DIN AHMAD

SUNGAI UDANG 15 Jan. – Pejabat Daerah Melaka Tengah telah melakukan penilaian untuk menganggar kerosakan bumbung rumah Norlaila Awang, 44, yang musnah keseluruhannya dalam kejadian ribut di Kampung Bertam Hulu, di sini.

Kerja pembaikan akan segera dilaksanakan kontraktor dilantik pejabat itu bagi memastikan mangsa dan anggota keluarganya mampu meneruskan kehidupan seperti biasa ekoran terpaksa menumpang di rumah saudara mara sejak kejadian petang Ahad lalu itu.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Mohd Lokman Abdul Gani berkata, kediaman Norlaila adalah yang paling teruk terjejas akibat kejadian itu manakala enam rumah lain hanya mengalami kerosakan sebahagian kecil bumbung diterbangkan angin kencang.

“Pejabat Daerah sudah melakukan bancian jumlah kerosakan di kediaman Norlaila dan akan menghulurkan bantuan kerja pembaikan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui menziarahi mangsa ribut di kampung berkenaan hari ini.

Dia berkata, tujuh ketua keluarga mangsa ribut telah menerima sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk Pejabat Ketua Menteri bagi meringankan beban untuk menjalankan kerja pembaikan.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, hujan lebat yang disertai angin kencang menyebabkan keseluruhan bumbung zink kediaman Norlaila yang turut dihuni suaminya, Hussein Mohamad, 46, dan ibunya, Fatimah Talib, 81, serta anaknya, Nafizal Harith, 16, musnah.

Bagaimanapun, mereka sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pelbagai barangan elektrik sempat diselamatkan daripada rosak akibat ditimpa hujan.

Norlaila berkata, ketika kejadian suaminya tiada di rumah kerana ada urusan di luar manakala dia dan ibu serta anaknya berehat di ruang tamu.

“Saya memberanikan diri untuk melaungkan azan dengan kuat apabila melihat satu demi satu bumbung zink diterbangkan angin kencang tetapi apabila mendengar zink terkopak semakin kuat dan rumah seakan-akan bergegar, tubuh saya menggigil ketakutan.

“Bunyi bumbung tercabut itu amat menakutkan seakan-akan menyentap tangkai jantung saya dan buat pertama kali saya lihat betapa bumbung yang tercabut itu amat mudah diangkat sebelum diterbangkan dalam sekelip mata,” katanya.

Pekerja kilang di Cheng itu berkata, dia tidak berani lagi melihat zink terkopak dan menutup mata sambil menangis serta berdoa agar Allah menyelamatkannya sekeluarga daripada ditimpa zink dan kayu alang bumbung yang patah satu demi satu.

Dia sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang menghulurkan sumbangan kewangan dan berharap kerja pembaikan dapat segera dilakukan kerana dia dan anggota keluarganya terpaksa menumpang di kediaman adiknya di Krubong.

“Semua yang berlaku adalah ujian Allah dan kami bersyukur kerana Allah menyelamatkan kami daripada mengalami kecederaan dalam kejadian yang amat menakutkan itu,” katanya.

Yusri Sahat

Leave a Comment
Share
Published by
Yusri Sahat

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

2 months ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

5 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

5 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

5 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

5 months ago