Categories: MELAKARENCANA

Kereta api Melaka mana hilangnya?

Stesen kereta api Bandar Melaka yang terletak di bangunan Graha Maju sekarang ini.

MUNGKIN ramai yang tidak mengetahui bahawa telah wujud laluan kereta api yang menghubungkan stesen kereta api di Pulau Sebang, Alor Gajah ke Bandaraya Melaka sejauh kira-kira 35.4 kilometer km).

Bagaimanapun stesen kereta api Pulau Sebang tidak dikenali sebagai stesen kereta api Pulau Sebang sebaliknya lebih popular sebagai stesen kereta api Tampin, Negeri Sembilan.

Mengikut sejarah, landasan kereta api dari Seremban ke Pulau Sebang telah siap dibina pada tahun 1905. Tidak lama selepas itu satu stesen kecil dibina dan dinamakan stesen kereta api Pulau Sebang.

Walau bagaimanapun pembangunan pesat bandar Tampin yang berjiran dengan Pulau Sebang telah menyebabkan pihak British pada ketika itu menukar nama stesen Pulau Sebang kepada Tampin walaupun kedudukan stesen itu dalam kawasan Melaka.

Sekitar tahun 1924 telah wujud jaringan kemudahan pengangkutan awam yang telah dibina oleh British di Melaka. Terdapat beberapa kesan peninggalan laluan kereta api ini.

Antaranya ialah papan tanda stesen di Alor Gajah, jambatan kereta api di Gadek dan di beberapa kawasan lagi bagi mengukuhkan penemuan bahawa Melaka pada suatu ketika dahulu memiliki kemudahan pengangkutan awam yang terbaik di zaman penjajahan British.

Sistem pengangkutan Melaka dikira lengkap dengan jaringan jalan darat yang menghubungkan utara dan selatan, lapangan terbang di Batu Berendam, sistem pelabuhan dan jalan kereta api dari Tampin ke Bandaraya Melaka.

Gambar menunjukkan Stesen Kereta api (arah selatan) dan laluan ke Bandar Melaka di sebelah kanan.

PULAU SEBANG KE BANDAR MELAKA
Terdapat beberapa stesen dibina antara Pulau Sebang ke Bandaraya Melaka mempunyai iaitu di Alor Gajah, Melaka Pindah, Durian Tunggal, Batu Berendam dan Bandar Melaka sejauh 35.4 km yang dibuka pada 1 Disember 1905.

Jarak dari Pulau Sebang ke stesen di Tanjung Rimau adalah 6.4 km, Gadek (8.1 km), Alor Gajah (12.9 km), Melaka Pindah (14.5 km), Belimbing Dalam (20.9 km), Durian Tunggal (24.1 km), Batu Berendam (29.0 km) dan Bandar Melaka (35.4 km).

Di sepanjang laluan itu masih terdapat beberapa binaan termasuk bekas jambatan dan papan binaan yang diperbuat dari batu.

Ada pihak yang menyatakan bahawa lapangan terbang Baru Berendam merupakan bekas stesen kereta api berdasarkan binaan asal bangunan itu dan terdapat sebuah gudang yang terdapat tidak jauh dari situ yang dijadikan sebuah pasar raya.
Sebuah bekas jambatan juga terdapat tidak jauh dari kawasan tersebut berhampiran sebuah kuil di Sungai Melaka (di kawasan Bachang).

Dipercayai jalan kereta api itu menuju ke Bakar Batu, Bachang sebelum ke Stesen Kereta Api Bandar Melaka di tapak Graha Maju. Sementara di tapak teksi yang kini merupakan sebuah plaza adalah tempat memusingkan kepala kereta api atau ‘turn table’.

Stesen kereta api Batang Melaka yang baru.

STESEN KERETA API BATANG MELAKA
Sebuah lagi stesen kereta api di Melaka terletak di Batang Melaka, Jasin. Ia berada kira-kira 200 meter arah selatan dari sempadan Negeri Melaka – Negeri Sembilan.

Tidak semua tren ekspres berhenti di stesen ini. Hanya Electric Train Service (ETS) sahaja berhenti di stesen ini laluan Gemas-Padang Besar-Gemas. Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Batang Melaka secara umumnya memberi perkhidmatan kepada penduduk di Selandar, Nyalas, Jasin dan Gemencheh.

Stesen yang dinaiktarafkan itu dimodenkan dengan kemudahan landasan berkembar Seremban-Gemas dan projek tersebut telah siap pada tahun 2012.

PENJAJAHAN JEPUN
Kehadiran tentera Jepun ke Tanah Melayu dari tahun 1942 hingga 1945 merubah banyak perkara antaranya mencabut landasan kereta api dari Bandar Melaka ke Pulau Sebang.

Bekas jambatan kereta api di kiri dan kanan tebing Sungai Melaka.

Pihak tentera Jepun mendapati pengangkutan kereta api banyak digunakan oleh tentera British dan bukannya orang awam dan dikatakan tambang dari Pulau Sebang ke Bandar Melaka adalah 5 sen.

Pendudukan Jepun menjadikan landasan laluan Melaka ini telah dibongkar oleh tentera Jepun untuk membina landasan kereta api maut di Kancanapuri, Burma dan sejak itu stesen Pulau Sebang/Tampin menjadi stesen kereta api utama bagi pengangkutan rel ke Negeri Melaka.

Menyentuh mengenai kisah Kancanapuri atau peristiwa kereta api maut Burma, ramai peminat filem klasik yang berunsur sejarah pasti masih teringat dan terharu menonton filem Hollywood ‘Bridge on the River Kwai’.

Apakah generasi muda rakyat Malaysia sedar kisah di belakang pembinaan kereta api maut yang turut melibatkan penduduk Tanah Melayu sebelum merdeka, terutamanya kaum Tamil. Projek kereta api maut tersebut adalah umumnya dirujuk dalam jurnal-jurnal sebagai ‘Burma-Siam Death Railway’.

Jambatan kereta api yang merentasi Sungai Kwai yang menjadi salah satu adegan penting dalam filem tersebut adalah dibina oleh pekerja-pekerja paksa Tamil dari Malaya.

Pihak Jepun yang menakluki negara-negara Asia Tenggara, terutamanya Burma, Singapura dan Malaya semasa Perang Dunia Kedua (WWII) ingin menakluki dan menguasai benua India daripada British.

Untuk membantu hasrat menakluki India, tentera Jepun memerlukan senjata-senjata dan logistik tentera untuk menyerang pihak tentera British yang menetap di India.

Dalam hal ini, pihak Jepun memutuskan menggunakan jalan darat sebagai satu strategi pengangkutan untuk mengangkut logistik ketenteraan mereka supaya dapat mengelak pengangkutan melalui kapal yang terdedah kepada ancaman serangan pihak tentera British dan Amerika, yang menguasai perairan Teluk Bengal dan Selat Melaka.

Bekas jambatan kereta api yang berada di Melaka Pindah dan kini digunakan oleh penduduk tempatan.

Dengan itu, landasan kereta api sepanjang 415 kilometer dicadang dibina dari Ban Pong, Thailand ke Thanbyuzayat, Burma bagi memudahkan mengangkut logistik ketenteraan Jepun ke Burma melalui Thailand.

Projek pembinaan landasan tersebut bermula pada September 1942 di Burma dan November 1942 di Thailand oleh dua kumpulan pekerja, iaitu satu kumpulan bergerak dari utara ke selatan dan satu kumpulan lagi bergerak dari selatan ke Utara.

Akhirnya kedua-dua kumpulan tersebut selesai pembinaan dan bertemu di Kancanapuri, Thailand pada bulan Oktober 1943.

Sebahagian besar tenaga kerja yang terlibat dalam projek ini adalah tentera Jepun melibatkan 12,000 termasuk orang tahanan perang dunia kedua (POW), meliputi tentera Australia, British dan orang awam.

Adalah dianggarkan hampir 180,000 orang awam dikerah sebagai pekerja paksa meliputi orang Jawa, China, Burma dan Tamil dalam pembinaan landasan kereta api tersebut.

Kumpulan buruh yang dipaksa menjalankan kerja-kerja kasar adalah dirujuk sebagai ‘romusha’ (dalam bahasa Jepun) yang dianggarkan hampir 100,000 orang keturunan Tamil dari Malaya. Kumpulan Tamil ini adalah buruh yang dikerah dengan paksa dari ladang-ladang getah, tempat kediaman mereka di seluruh Malaya.

Admin MelakaKini

Leave a Comment
Share
Published by
Admin MelakaKini
Tags: evergreen

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

1 month ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

4 months ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

4 months ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

4 months ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

4 months ago