Kerajaan sentiasa prihatin isu kos sara hidup rakyat – Muhyiddin

Kerajaan sentiasa prihatin isu kos sara hidup rakyat – Muhyiddin

Tingkatkan kapasiti dan kemahiran

BANGKOK, 29 Nov. – Kerajaan sentiasa mengambil perhatian dalam menangani isu kos sara hidup rakyat, khususnya kumpulan B40, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata kerajaan melalui pelbagai agensi, jabatan dan kementerian, telah melaksanakan pelbagai langkah untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, dan pada masa yang sama mencari jalan meningkatkan pendapatan rakyat.

Katanya, Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah ditubuhkan, untuk merangka pelan dan merencana formula membantu rakyat meringankan beban dihadapi.

“Namun, rakyat masih mengadu bahawa mereka tidak dapat merasa apa yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan. Mereka tertanya-tanya apakah yang dilakukan Pakatan Harapan sekarang ini? Adakah mereka tidak lakukan apa-apa?

“Saya boleh katakan yang kami sedang lakukan lebih daripada yang boleh anda bayangkan. Untuk menghadapi isu ini bukanlah mudah, kami berhadapan dengan banyak cabaran berikutan salah laku oleh yang lepas (kerajaan)…Kami mewarisi satu legasi yang mempunyai banyak masalah. Lagipun situasi ekonomi yang suram menjejaskan kehidupan ramai rakyat Malaysia

“Kami secara serius melihat kepada setiap usaha untuk memastikan kumpulan sasaran akan dibantu, supaya kami boleh buatkan kehidupan mereka lebih baik,” katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama diaspora rakyat Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia, Bangkok. Hadir sama ialah Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel.

Muhyididn yang berada di Bangkok menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan Ke-13 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di sini berkata, walaupun pelbagai langkah dan inisitif telah diambil kerajaan, namun ia akan mengambil sedikit masa untuk melihat kesannya.

Beliau berkata, Malaysia mahu menjadi sebuah negara yang menarik bagi pelabur-pelabur asing untuk projek-projek perindustrian baharu, agar ia dapat menyediakan peluang dan ruang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga mengalakkan rakyat Malaysia agar meningkatkan kapasiti dan kemahiran untuk menjadi pekerja pakar dan mahir, sekali gus dapat meningkatkan pendapatan mereka.

“Saya berharap diaspora Malaysia di Thailand juga memainkan peranan masing-masing, menjadikan Malaysia sebuah negara maju,” katanya.- BERNAMA

CATEGORIES