Kerajaan sedia pertimbang tambah anggota, peralatan AADK

Kerajaan sedia pertimbang tambah anggota, peralatan AADK

Ya memang perlu..

KUALA LUMPUR, 6 Nov. – Kerajaan sedia mempertimbangkan untuk menambah keanggotaan dan peralatan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi memperkasa agensi itu dalam usaha membasmi penagih dadah di negara ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata bagi merealisasikan hasrat itu, sudah tentu memerlukan perbelanjaan tinggi terutamanya untuk tujuan pembelian peralatan berkaitan.

“Saya setuju cadangan untuk tambah anggota dan peralatan di AADK. Tapi dia akan berbalik kepada isu kewangan. Kita sedar untuk tujuan itu, sudah pasti memerlukan perbelanjaan besar (kerajaan).

“Jadi kita rayu pihak swasta untuk beri sumbangan dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR). Kalau kita harap peruntukan kerajaan sahaja, sudah tentu akan mengehadkan peranan AADK dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam),” katanya pada sesi jawab lisan.

Beliau menjawab soalan  Su Keong Siong (PH-Kampar) yang ingin tahu sama ada KDN akan menambah keanggotaan dan peralatan dalam usaha memantapkan AADK.

Katanya, peruntukan belanja mengurus AADK tahu depan juga meningkat sebanyak 15 peratus berbanding tahun ini, malah sebanyak 173 perjawatan diluluskan pengisian oleh Jabatan Perkhidmatan Awam tahun ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) pihaknya memandang serius elemen integriti anggota AADK dengan mengambil tindakan sekiranya ada di antara anggota AADK yang membocorkan maklumat mengenai sebarang operasi.

“Bila ada operasi, mungkin ada elemen sabotaj di mana pegawai dalaman bocor maklumat. Tapi perkara ini masih dalam kawalan kita. Kalau ada operasi, pegawai kita tidak akan tahu lokasi operasi sehinggalah tiba hari operasi dijalankan,” katanya.- BERNAMA

CATEGORIES