Kerajaan Negeri Melaka sokong penuh RUU 668

Kerajaan Negeri Melaka sokong penuh RUU 668

Ada hikmahnya..

AYER KEROH 12 Julai – Rentetan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668) iaitu menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun pada 3 Julai lepas, Kerajaan Negeri Melaka menzahirkan sokongan penuh terhadap pembaharuan yang dibawa oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan, Kerk Chee Yee berkata sebelum ini isu had umur belia telah didebatkan sekian lama sejak kerajaan terdahulu.

Katanya, isu belia menjangkaui hal politik dan ianya harus disokong jika negara ingin melihat perubahan positif dalam agenda pembangunan belia umumnya.

“Ketidakpuashatian terhadap kepimpinan pertubuhan belia sebelum ini banyak berkisar mengenai pemilihan anggota yang kebanyakannya berumur 30 tahun ke atas dan ada yang hampir berumur 40 tahun.

“Ini adalah cabaran yang dihadapi oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) malah turut dirasai oleh Kerajaan Negeri Melaka,” katanya menerusi satu kenyataan rasminya semalam.

Beberapa inisiatif prinsipal telah dipersetujui KBS di mana mereka akan membantu setiap pertubuhan belia untuk beralih kepada transisi perubahan tersebut.

Antara lain, penguatkuasaan secara penuh dasar tersebut adalah selepas tahun 2021.

Menerusi dasar tersebut, terdapat juga insentif kepada mereka yang berjaya mematuhi syarat umur itu.

“Kami percaya pertubuhan belia harus memainkan peranan penting jika mahu memenuhi hasrat agenda belia negara.

“Saya percaya pertubuhan belia perlu bergerak secara mapan di mana menggalakkan penglibatan generasi muda dan memberi ruang secukupnya dalam usaha membenarkan mereka merencana pembangunan negara,” katanya.

Skil kepimpinan dan pengalaman yang terhad bagi mereka yang lebih muda seharusnya tidak harus dijadikan sebagai alasan, sebaliknya umum harus menggalakkan pemimpin pertubuhan belia ini untuk terus dilatih dalam pelbagai aspek oleh setiap pertubuhan belia.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Melaka sentiasa bersiap siaga membantu golongan belia di negeri ini agar lebih mantap dari segi tokoh kepimpinan.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS