Kerajaan negeri komited bantu Qaseh Umairah

Kerajaan negeri komited bantu Qaseh Umairah

Segala yang berlaku ada sebabnya. Jangan mudah salah faham, selidik dahulu. Kerajaan negeri sentiasa membantu..

DUYONG 13 Mei- Kerajaan negeri komited akan membela nasib Nur Qaseh Umairah Mohd Najib, 5 , selepas mendapat perhatian Exco Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar, Ginie Lim Siew Lin apabila ke rumah anak istimewa itu baru-baru ini.

Turut bersamanya pasukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri diketuai Pengarahnya Burhanuddin Bachik, Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Mohd Rizalman Syed serta Setiausaha JAPERUN Duyong, Muhammad Farhan Mahmud.

Ginie berkata, kekeliruan ditimbulkan Mohd Najib Bebet, 37 tahun, terhadap JKM perlu diperjelaskan sebaik mungkin selepas bantuan kepada anaknya Nur Qaseh Umairah dihentikan.

“Saya sudah semak dengan JKM, pendapatan isi rumah keluarga ini melebihi had kelayakan garis kemiskinan iaitu RM3,000, sebab itu elaun pesakit terlantar dihentikan.

“Bagaimanapun, saya minta JKM dan agensi lain mencari jalan untuk membantu keluarga ini mengatasi kesulitan kerana saya difahamkan penjagaan ke atas Nur Qaseh Umairah membabitkan kos tinggi terutama bil elektrik.

“Setakat ini, yang saya tahu, bantuan daripada MAIM masih diteruskan,” katanya ditemui di rumah Mohd Najib di Taman Seri Duyong 3, baru-baru ini.

Ginie turut meminta Mohd Najib dan isteri Nor Aini Raoh, 37 tahun, mendaftarkan Nur Qaseh Umairah sebagai kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) bagi membolehkannya mendapat kad itu sekali gus melayakkannya menyertai program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) termasuk menerima elaun RM150 sebulan.

“Saya minta Mohd Najib faham bantuan agensi kerajaan adalah bersifat sementara dan setiap kali sebelum tarikh akhir pemberian elaun, pendapatan isi rumah akan diaudit semula sama ada masih layak menerima bantuan atau sebaliknya.

“Kita faham, adik Qaseh memang pesakit terlantar tetapi semakan terkini mendapati, kelayakan keluarga itu gagal memenuhi syarat ditetapkan JKM kerana hanya keluarga berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah saja layak menerima.

“Bantuan itu JKM beri dengan harapan dapat membantu dalam masa sama penerima mencari jalan untuk berdikari cuma keadaan kronik seperti ini, saya rasa perlu diteruskan,” katanya.

Ginnie berkata, pihaknya akan berbincang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk pengurangan kadar bil elektrik.

Mohd Najib sebelum ini memuat naik status di Facebook miliknya mengenai ketidakpuasan hati terhadap tindakan JKM Melaka menghentikan bantuan elaun sakit terlantar RM350 setiap bulan bermula Jun depan.

Dengan hanya isterinya bekerja sebagai guru, kos elektrik rumah terbabit mencecah hampir RM500 sebulan selain kos susu RM1,200 sebulan serta sewaan mesin terapi Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) RM400 sebulan dan servis mesin terbabit yang mencecah RM600.

Jumaat lalu, JKM hadir ke rumahnya untuk memberi penjelasan mengenai pemberhentian itu malah jabatan terbabit sekali lagi berkunjung untuk memberi penjelasan.

Burhanuddin berkata, sebagai penjawat awam, Nor Aini tertakluk kepada Pekeliling Perkhidmatan bil 21 Tahun 2009.

“Mengikut Pekeliling Perkhidmatan bil 21 Tahun 2009 (peraturan permohonan perbelanjaan kemudahan perubatan), keluarga terbabit tidak layak menerima bantuan JKM dan menjadi tanggungjawab ketua jabatan tempat isterinya bekerja menguruskan bantuan.

“Isterinya perlu memohon melalui sekolah dan ia akan dipanjangkan kepada jabatan sebelum ke kementerian dan permohonan diteruskan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA),” katanya.

Sementara itu, dalam lawatan tersebut, Ginie turut menyampaikan sejambak bunga kepada isteri Mohd Najib sempena Hari Ibu sebagai sokongan moral dan penghargaan pengorbanannya menjaga Qaseh Umairah.

CATEGORIES
TAGS