Kerajaan Melaka ambil langkah tepat tangani masalah sosial pelarian Rohingya

Kerajaan Melaka ambil langkah tepat tangani masalah sosial pelarian Rohingya

Bantu pelarian Rohingya

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh baru-baru ini telah dimaklumkan bahawa terdapat seramai 5,000 masyarakat Rohingya di negeri itu mengikut anggaran oleh Pertubuhan Majlis Rohingya Malaysia Negeri Melaka (MRM).

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) pula, Melaka mempunyai seramai 2,139 orang pelarian yang telah berdaftar dengan agensi antarabangsa tersebut.

Menurut MRM, yang bergerak dari rumah ke rumah untuk mengumpulkan data pelarian berkenaan, tidak semuanya berdaftar dengan UNHCR.

Di sebalik perbezaan angka berkenaan, Kerajaan Negeri Melaka sedang mengambil langkah-langkah berikut untuk menangani masalah sosial dalam kalangan pelarian Rohingya seperti masalah kebersihan dan ketenteraman awam.

 


MEWUJUDKAN PENEMPATAN SECARA BERKELOMPOK

Ketua Menteri Adly Zahari dilaporkan berkata pada ketika ini masyarakat Rohingya di Melaka secara asasnya mempunyai beberapa kawasan penempatan yang mereka sewa daripada masyarakat tempatan.

Beliau berkata kerajaan negeri bagaimanapun tidak mewartakan kawasan-kawasan penempatan yang disewa itu sebagai perkampungan Rohingya dan sebaliknya akan mewujudkan penempatan secara berkelompok khusus untuk komuniti berkenaan.

“Walaupun kerajaan negeri tidak mewartakan kawasan tersebut sebagai penempatan Rohingya tetapi secara asasnya mereka masih mempunyai satu komuniti masyarakat yang mana mereka mempunyai aktiviti-aktiviti tertentu,” jelasnya.

Langkah untuk mewujudkan penempatan secara berkelompok merupakan satu langkah tepat kerana ia akan membolehkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa yang berkaitan melakukan pemantauan secara lebih menyeluruh dan berkesan khususnya dalam menangani masalah sosial di kalangan warga pelarian berkenaan.

 

MENYEDIAKAN LOKASI DAN SUKATAN PENDIDIKAN KHAS UNTUK ANAK-ANAK ROHINGYA

Menurut Adly kerajaan negeri juga akan menyediakan peluang pendidikan dalam bidang akademik, keagamaan dan kemahiran asas kepada anak-anak pelarian Rohingya selaras dengan hak untuk mendapatkan pendidikan mengikut Artikel 22 Konvensyen Pelarian 1951.

Beliau menegaskan bahawa memberikan pendidikan kepada anak-anak pelarian Rohingya adalah keutamaan kerana ia merupakan perkara paling asas untuk membantu kelompok tersebut maju ke depan.

“Sebenarnya antara model pendidikan telah kita buat ada dua model, yang pertama pendidikan daripada mereka sendiri, dan ini harus kita pantau kerana kita tidak mahu pendidikan yang mereka terima itu bercanggah dengan dasar pendidikan kita,” beliau dilaporkan berkata.

Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) juga dilaporkan telah mengadakan beberapa model pendidikan seperti kelas Al-Quran bersiri, mengadakan kuliah agama selain melantik seorang penyelaras guru takmir di Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak pelarian Rohinya.

Usaha sedemikian sewajarnya dipuji kerana ia dapat mengelakkan mereka daripada terbiar yang boleh memberikan kesan negatif kepada masyarakat setempat dan negeri.

Melalui pendidikan juga membolehkan pelarian tersebut lebih memahami budaya dan adat-resam tempatan yang dapat mengelakkan konflik antara dua kelompok tersebut.

 

MELIBATKAN AGENSI KERAJAAN DAN NGO MENDEKATI PELARIAN

Kerajaan negeri akan melibatkan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendidikan, JAIM, polis dan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) untuk memberikan taklimat dan nasihat berkaitan aspek perundangan, kesihatan, pendidikan dan keagamaan kepada komuniti pelarian Rohingya di Melaka.

Adly dilaporkan berkata kerajaan negeri juga akan menjalin kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) seperti MRM untuk mendekati pelarian Rohingya dan menyalurkan maklumat dan bantuan yang perlu kepada golongan tersebut.

 

TANGGUNGJAWAB KERAJAAN NEGERI MEMBANTU PELARIAN ROHINGYA

Kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab untuk membantu sedaya mungkin pelarian Rohingya di Melaka atas faktor agama serta tuntutan perjanjian masyarakat antarabangsa.

Berdasarkan Konvensyen Pelarian 1951, pelarian Rohingya di Melaka mempunyai hak-hak berikut seperti yang terkandung dalam konvensyen tersebut:

– Hak untuk tidak dihantar pulang secara paksa ke negara lain (termasuk negara asal) di mana pelarian tersebut mungkin berhadapan penganiayaan – Artikel 33

– Pengecualian/pembebasan daripada sebarang bentuk hukuman dari memasuki mana-mana wilayah/kawasan di negara parti secara tidak sah – Artikel 31

– Hak untuk mendapatkan pekerja – Artikel 17

– Hak untuk mendapatkan penempatan/perumahan – Artikel 21

– Hak untuk mendapatkan pendidikan – Artikel 22

– Hak untuk mendapatkan bantuan umum/sokongan – Artikel 23

– Hak untuk kebebasan beragama dan akses kepada pengadilan – Artikel 4 dan 16

– Hak dan kebebasan bergerak – Artikel 26

– Hak untuk diberikan status/identiti dan dokumen perjalanan sah – Artikel 27 dan 28

Sehubungan itu rakyat Melaka khususnya yang beragama Islam tidak sewajarnya mempertikaikan usaha-usaha kerajaan negeri untuk membantu pelarian Rohingya di Melaka apatah lagi hampir kesemua mereka adalah beragama Islam.

CATEGORIES
TAGS