Kemenangan Netanyahu berpotensi cetus konflik baru Palestin-Israel

Kemenangan Netanyahu berpotensi cetus konflik baru Palestin-Israel

Agaknya Netanyahu terlalu terdesak nak menang sampai nak caras Palestin dan Jordan habis-habisan nampak... Berpada-pada cita-cita tu...

KEPUTUSAN pilihan raya semula Israel pada 17 September ini pastinya amat dinantikan oleh masyarakat dunia khususnya umat Islam berikutan perkembangan kontroversi mutakhir ini.

Pilihan raya berkenaan bakal menjadi penentu sama ada proses damai antara Palestin dan Israel akan berterusan atau berkubur.

Kemenangan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Parti Likud pimpinannya dalam pilihan raya itu berpotensi untuk menjejaskan proses damai tersebut dan seterusnya mencetuskan satu konflik baru di rantau berkenaan.

Ini susulan ucapan kontroversi Netanyahu semasa mengadakan kempen pilihan raya baru-baru ini bahawa Israel akan memperluas kedaulatannya ke Lembah Jordan dan penempatan lain di Tebing Barat sekiranya beliau memenangi pilihan raya semula itu.

Keadaan mungkin berbeza jika pembangkang Israel yang berjaya mengekang Perdana Menteri Israel itu dan sekutunya daripada membentuk kerajaan baru-baru ini, mencipta kejutan dan menang dalam pilihan raya semula minggu depan.

Untuk rekod, Parlimen Israel pada Mei tahun ini mengadakan undian bagi membolehkan pilihan raya negara itu diadakan semula selepas Netanyahu gagal membentuk kerajaan walaupun memenangi pilihan raya asal pada 9 April lepas.

 

MENERIMA BANTAHAN PELBAGAI PIHAK

Ucapan provokasi Netanyahu itu setakat ini telah mendapat bantahan pelbagai pihak.

Menteri-menteri Luar Liga Arab telah mengecam pengumuman beliau tersebut dan melihatnya sebagai satu perkembangan baharu yang “berbahaya”, menurut laporan agensi berita Anadolu.

Dalam satu kenyataan selepas mesyuarat luar biasa di Kaherah bagi membincangkan pengumuman terbaru pemimpin rejim zionis itu, menteri-menteri luar berkenaan menegaskan bahawa pelan baru Netanyahu itu akan merosakkan semua asas penyelesaian damai dengan Palestin.

Kesatuan Agensi Berita Negara-negara Anggota OIC (UNA-OIC) pula melaporkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan sidang tergempar peringkat menteri-menteri luar pada Ahad ini berhubung kenyataan kontroversi tersebut.

Mesyuarat yang akan diadakan di ibu pejabat OIC di Jeddah itu atas permintaan Arab Saudi, juga dijangka membincangkan mengenai langkah segera yang boleh diambil mengikut saluran diplomasi dan undang-undang sebagai tindak balas terhadap pendirian terbaru Israel itu.

Sementara itu Kementerian Luar Russia di dalam satu kenyataan menegaskan langkah Netanyahu itu boleh meningkatkan ketegangan di rantau berkenaan dan menjejaskan harapan bagi mengakhiri kemelut Palestin-Israel, lapor agensi berita Sputnik

Menteri Luar Sweden yang baharu Ann Linde turut menyelar kenyataan Perdana Menteri Israel itu seperti dilaporkan agensi berita Anadolu yang memetik stesen penyiar Sweden SVT.

Beliau dilaporkan berkata “penyelesaian dua negara” mestilah menjadi prasyarat untuk menyelesaikan kemelut Palestin-Israel.

 

PENDIRIAN TEGAS PALESTIN

Presiden Palestin Mahmoud Abbas dalam satu kenyataan memberi amaran bahawa semua perjanjian yang telah dimeterai dengan rejim zionis itu akan berakhir jika Israel meneruskan hasrat merampas sebahagian Tebing Barat yang diduduki.

“Kesemua perjanjian berakhir jika Israel menguasai Lembah Jordan, bahagian utara Laut Mati dan mana-mana bahagian wilayah Palestin yang diduduki pada 1967,” katanya seperti dilapor agensi berita Anadolu.

Beliau menegaskan rakyat Palestin “berhak untuk mempertahankan hak mereka dan akan berusaha mencapai matlamat kita walau dengan apa cara sekali pun.”

 

MASYARAKAT ANTARABANGSA PERLU KUTUK RANCANGAN HARAM NETANYAHU

Masyarakat antarabangsa perlu mengutuk rancangan haram Netanyahu untuk memperluaskan kedaulatan Israel ke kawasan-kawasan di Tebing Barat yang didudukinya sejak 1967.

Ini kerana di bawah undang-undang antarabangsa sebarang aktiviti pembangunan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, adalah haram.

Selain itu Palestin juga mahukan wilayah-wilayah berkenaan, bersama dengan Semenanjung Gaza, bagi mewujudkan negara Palestin.

Masyarakat antarabangsa juga tidak sepatutnya menafikan hak rakyat Palestin untuk mendapatkan semula negara mereka berdasarkan sempadan 4 Jun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara menurut ketetapan undang-undang antarabangsa dan Inisiatif Damai Arab.

Menurut laporan media luar negara, dianggarkan 70,000 orang Palestin bersama 9,500 peneroka Yahudi, kini tinggal di Lembah Jordan – tanah besar yang subur merangkumi satu perempat Tebing Barat.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas telah menegaskan bahawa rancangan Netanyahu itu adalah bercanggah dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.

Setiausaha Agung OIC Dr Yousef A. Al-Othaimeen pula menyifatkan perancangan tersebut akan membantutkan usaha antarabangsa mewujudkan keamanan jangka panjang sekali gus mencapai matlamat penyelesaian dua negara.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru semua negara dan pertubuhan antarabangsa supaya menolak dan mengutuk provokasi Israel serta meminta Israel menghentikan semua tindakan unilateralnya yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Negara-negara anggota OIC juga perlu berpendirian tegas dalam menangani kemelut terbaru ini sebagaimana yang disarankan oleh Al-Othaimeen.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES