Categories: KolumnisMELAKARENCANA

Kemampanan fiskal negeri Melaka

ZAIPUL ANWAR ZAINU
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Tun Perak

KEUPAYAAN sesebuah kerajaan dalam mengurus dan meningkatkan kemampanan kewangan atau fiskalnya adalah sesuatu yang sangat penting bagi memastikan peningkatan taraf kehidupan rakyat yang lebih baik dan pada masa sama dapat meminimumkan beban kepada pembayar cukai.

Namun hasil yang dikutip Kerajaan Negeri dan pinjaman yang diberikan oleh pihak Kerajaan Persekutuan mungkin tidak cukup untuk membiayai pelbagai projek pembangunan dan infrastruktur untuk rakyat.

Oleh itu, pihak Kerajaan Negeri perlu mengoptimumkan sumber bajet sedia ada yang agak terhad dan mencari alternatif pembiayaan berasaskan pasaran bagi menambah peruntukan geran dan pinjaman yang diperoleh daripada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembangunan.

Kemampuan Kerajaan Negeri untuk mentadbir, menyampaikan perkhidmatan dan pembangunan serta meningkatkan penyelenggaraan dan pelaburan bagi menambahbaik infrastruktur sedia ada adalah juga perlu dipertahankan bagi tujuan menarik dana atau pembiayaan daripada pasaran luar.

Bagi memperoleh dana atau pembiayaan daripada pasaran, beberapa sekatan undang-undang dan peraturan semasa juga perlu diatasi selain daripada memperlihatkan kemampanan fiskal jangka panjang.

Hanya dengan menunjukkan keupayaan mengurus kewangan, kelestarian fiskal dan keupayaan kredit (creditworthiness) maka pembaharuan undang-undang dan peraturan yang kini mengehadkan akses Kerajaan Negeri kepada pembiayaan berasaskan pasaran samada di Malaysia atau dari luar akan dapat di atasi.

Selain itu penunjuk kepada kedudukan kewangan (financial indicators) adalah juga antara cara yang boleh digunakan untuk menilai prestasi kewangan Kerajaan Negeri secara keseluruhan bagi membantu mengenal pasti apakah perkara yang mungkin boleh dilakukan ke arah penambahbaikan, seterusnya menarik dana pelaburan daripada dalam mahupun luar negara.

Beberapa cadangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak berkaitan hal ini.

Contohnya seperti cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam bengkel-bengkel Pembangunan Pelan Strategik Negeri Melaka dan juga cadangan yang disenaraikan pihak Bank Dunia dalam Laporan Penilaian Kelestarian Negeri Melaka yang akan dihuraikan secara ringkas dalam perenggan-perenggan berikut.

DASAR FISKAL YANG CEKAP DAN PROGRESIF

Dasar fiskal yang cekap dan progresif adalah dasar yang menjadi aras tanda kepada urus tadbir negeri yang berintegriti tinggi.

Meningkatkan keberkesanan dalam pengurusan hutang dan menetapkan dasar-dasar yang bertulis bagi mengelakkan risiko tukaran asing dalam pembiayaan hutang dan penilaian semula terhadap pilihan pembiayaan atau pembiayaan semula adalah termasuk dalam dasar ini.

Menetapkan prosedur bertulis bagi penetapan dana yang dikhususkan untuk pembayaran balik hutang sebelum tamat tempoh pembayaran, mengkaji semula kelulusan penggunaan kedua-dua pembiayaan hutang jangka panjang dan jangka pendek, menetapkan proses untuk menguatkuasakan had hutang, mempercepatkan pembayaran balik hutang dan langkah-langkah khusus yang terlibat dalam mengkaji semula dan meluluskan urusniaga pembiayaan atau pembiayaan semula.

Juga, menggunakan perlindungan khusus terhadap pembayaran lewat atau tertangguh, seperti dana rizab perkhidmatan hutang dan lain-lain bagi memastikan kelestarian kewangan Negeri Melaka.

MEMPERBAIKI RATING DAN KEWIBAWAAN KEWANGAN

Memperbaiki rating atau penarafan kredit dan kewibawaan kewangan Kerajaan Negeri bagi menggalakkan lagi kemasukan dana pelaburan asing (FDI).

Perkara ini perlu dilakukan di peringkat Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu bagi menunjukkan tahap kelestarian fiskal dan kepercayaan kredit (creditworthiness) di peringkat Kerajaan Negeri secara langsung.

Mendapatkan penarafan kredit akan menyediakan negeri dengan laporan penarafan yang akan menjadi panduan yang sangat berguna untuk usaha penambahbaikan pengurusan kewangan.

Walaupun ada kemungkinan perkara ini belum boleh lagi dilakukan ketika ini tetapi usaha berterusan ke arah itu boleh dimulakan sebagai perancangan untuk jangkamasa panjang.

Negeri Melaka boleh bermula dengan bekerjasama dengan agensi penarafan yang diiktiraf, meminta penarafan kredit “bayangan” (shadow credit rating) yang dirahsiakan dahulu sebagai rujukan Kerajaan Negeri sahaja.

Berdasarkan daripada analisis penarafan kredit “bayangan” ini, Kerajaan Melaka boleh mengenal pasti dan melaksanakan pengurusan kewangan negeri untuk tujuan penambahbaikan.

Hasil daripada ini kemudiannya boleh meningkatkan penarafan kredit awam Negeri Melaka yang kemudiannya boleh digunakan untuk merundingkan pembiayaan infrastruktur berasaskan pasaran yang berpatutan (sama ada melalui kaedah hutang atau Public Private Partnership – PPP).

MENINGKATKAN KEBERKESANAN PENGURUSAN KEWANGAN DENGAN PENGGUNAAN FINTECH

Negeri Melaka boleh meningkatkan keberkesanan pengurusan dan pemerolehan pendapatan negeri dengan menggunakan teknologi kewangan (FinTech) terkini untuk digunapakai di peringkat Kerajaan Negeri.

FinTech berpotensi merubah perkhidmatan kewangan secara inovatif dan disruptif dan mampu melonjakkan tahap perkhidmatan kewangan ke tahap lebih tinggi.

Sebagai contoh FinTech boleh mengautomasikan proses pengutipan cukai dan hasil, pengebilan, penilaian semula kadar cukai dan aset seperti tanah dan bangunan, peningkatan perkhidmatan dan penjualan produk milik Kerajaan Negeri seperti pelancongan, mengenal pasti sumber pendapatan berpotensi baru seperti cukai, yuran, caj pengguna dan lain-lain.

MENINGKATKAN PENDAPATAN OPERASI

Meningkatkan pendapatan negeri dengan cara meningkatkan lagi keberkesanan perolehan hasil dengan mengurangkan kos operasi yang diperlukan untuk memperoleh hasil tersebut.

Keadaan ini juga boleh diperoleh dengan meningkatkan pendapatan berulang daripada sumber milik negeri dan pada masa sama pula memperlahankan pertumbuhan perbelanjaan operasi sebanyak mungkin.

Dengan kata lain kelestarian fiskal bergantung kepada keupayaan negeri untuk meningkatkan pendapatan pada kadar melebihi pertumbuhan dalam perbelanjaan operasinya.

Semakin tinggi peningkatan trend pendapatan negeri, maka semakin tinggi kemampanan fiskal dapat dizahirkan dan akhirnya meningkatkan lagi kelayakan kredit (creditworthiness) Negeri Melaka.

Mudah-mudahan tindakan-tindakan ini seterusnya akan dapat membantu Melaka mendapatkan dana pelaburan atau pembiayaan kepada projek-projek pembangunan negeri dan pembangunan infrastruktur rakyat seperti yang diharapkan di peringkat awal tulisan ini.

Yusri Sahat

Leave a Comment
Share
Published by
Yusri Sahat

Recent Posts

Hantar tulisan anda dan kami bayar!

Kami mencari penulis sambilan dan tetap di MelakaKini.my. Sekiranya tulisan anda dikeluarkan, kami akan bayar…

12 months ago

Hidup di laut jauhkan nelayan dari ancaman Covid-19

TANJUNG BIDARA 19 Mac - Nelayan adalah antara golongan dikatakan menghadapi risiko rendah untuk diserang…

1 year ago

COVID-19: 32 kes baharu di Singapura, jumlah terkini 345, 124 pulih

SINGAPURA 20 Mac -- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan…

1 year ago

Tiada rakyat Melaka meninggal dunia akibat Covid-19: Exco Kesihatan

AYER KEROH 20 Mac - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman menafikan dakwaan…

1 year ago

ATM nafi atur gerak aset tentera untuk ambil alih negara

KUALA LUMPUR 20 Mac -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang menjelaskan…

1 year ago