PENYU TERCANTIK DI DUNIA ADA DI TANJUNG BIDARA. PERCAYA TAK?

PENYU TERCANTIK DI DUNIA ADA DI TANJUNG BIDARA. PERCAYA TAK?

PANTAI Pengkalan Balak adalah kesinambungan dari Pantai Tanjung Bidara, Melaka berhampiran Pekan Pengkalan Balak, dalam daerah Alor Gajah.

Pesisir pantainya yang luas didampingi keindahan dan keunikan kampung-kampung nelayan menjadikan suasana persekitarannya damai dan permai.

Justeru, tidak hairanlah Tanjung Bidara cukup sinonim sebagai pantai perkelahan terkenal di negeri ini yang menjadi tarikan pengunjung sejak dahulu hingga sekarang.

Terletak kira-kira lima kilometer dari Pekan Masjid Tanah, Tanjung Bidara sesuai dijadikan tempat persinggahan keluarga terutama bagi mereka yang ingin lari seketika dari kesibukan kota.

Keadaan pantainya yang landai menghadap Selat Melaka menjadi persaingan utama pantai di Port Dickson terletak kira-kira 70 kilometer dari Masjid Tanah.

Pantai kegemaran ramai itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta, padang permainan kanak-kanak, surau, medan selera, tandas awam dan bilik mandi untuk keselesaan para pengunjungnya.

 

TUMPUAN SEMASA CUTI SEKOLAH

Pantai Pengkalan Balak dan Padang Kemunting turut menjadikan Tanjung Bidara perhatian pengunjung luar setiap cuti hujung minggu dan cuti umum.

Pantai Pengkalan Balak merupakan khazanah alam yang terus dipelihara dengan baik.

Terdapat 55 pengusaha calet bajet di kawasan itu menawarkan penginapan selesa dengan harga berpatutan diusahakan penduduk tempatan di sepanjang pantai itu.

Tarikan tiga lokasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri itu sebenarnya memberi rahmat kepada penduduk tempatan meraih rezeki tambahan.

Menjadi kawasan tumpuan ramai mungkin telah memberi nilai bonus kepada penduduk Tanjung Bidara terutama yang tinggal di persisiran pantai bagi mengusahakan perniagaan chalet bajet.

 

PUSAT KONVERSASI & PENERANGAN PENYU

Padang Kemunting pula menjadi tarikan kerana ia menjadi Pusat Penetasan Penyu Karah di bawah pengendalian Jabatan Perikanan negeri.

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting, Masjid Tanah menjalankan tugas pengurusan dan pemantauan aktiviti pendaratan penyu di pantai dan pulau di Melaka.

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu ini menguruskan pendaratan dan penetasan telur penyu Karah kerana jumlah pendaratan tahunan spesies itu di Melaka adalah tertinggi di Semenanjung Malaysia.

Pusat konservasi itu juga merancang program pemuliharaan dan kesedaran awam bersama-sama masyarakat setempat, luar dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Pusat itu berperanan menyelamat dan melindungi spesies penyu Karah yang kerap mendarat di sepanjang pesisir pantai Melaka dari Kuala Linggi hingga ke Klebang.

Jika berkunjung ke Padang Kemunting, orang ramai berpeluang melihat dari dekat usaha-usaha dijalankan bagi memastikan spesies penyu itu tidak pupus.

Di dunia, terdapat tujuh jenis penyu iaitu penyu Belimbing (Dermochelys Coriacea), Agar atau Hijau (Chelonia Mydas), Karah atau Sisik (Eretmochelys Imbricata) dan Lipas (Lepidochelys Olivacea).

Daripada empat spesies terbabit, penyu Karah adalah penyu tercantik di dunia dan Melaka menjadi negeri terbanyak pendaratan dan tertinggi di Asia Tenggara.

Penyu Karah akan hilang dalam tempoh tertentu yang dikenali ‘tahun-tahun kehilangan’ sebelum pulang semula ke pantai untuk bertelur selepas capai usia 20 tahun.

Spesies ini akan bertelur antara empat hingga lima kali setahun dengan setiap sarang mengandungi antara 100 hingga 130 biji telur.

 

PEMBANGUNAN LANDSKAP TANJUNG BIDARA

Pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara kini mengalami perubahan drastik dari segi keperluan riadah dan pembangunan ekonomi penduduknya.

Kebanyakan penduduk Tanjung Bidara suatu ketika dahulu hanya bergantung hidup dengan hasil laut dan pertanian kini menjengah ke dimensi baharu membolehkan pekerjaan di pelbagai sektor dapat diwujudkan di kawasan berkenaan.

Di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), Tanjung Bidara yang merupakan satu antara lima DUN di bawah Parlimen Masjid Tanah berkembang pesat dalam sektor pelancongan dan perniagaan.

Dari segi pembangunan ekonominya, sebanyak 50 peratus datang dari sektor pelancongan, nelayan (20 peratus), pertanian (20 peratus) manakala 10 peratus lagi terdiri perniagaan dan lain-lain.

Sektor pelancongan memainkan peranan utama dari segi tarikan ekonomi, pantainya iaitu Pantai Tanjung Bidara, Pantai Padang Kemunting dan Pantai Pengkalan Balak punyai khazanah alam yang pelbagai.

CATEGORIES
TAGS