Kegiatan banteras lumba lajak mula dapat perhatian umum

Kegiatan banteras lumba lajak mula dapat perhatian umum

Basikal lajak oh basikal lajak..

PERDEBATAN kepada siapa yang harus di pertanggungjawabkan berkenaan isu basikal lajak masih lagi hangat di media sosial.

Rata-ratanya masih menyalahkan ibu bapa sebagai golongan utama yang patut dipersalahkan kerana kurangnya didikan dan ketegasan dalam institusi rumah tangga, walhal pelakunya dipengaruhi perbuatan nakal dari rakan sebaya.

Masalah ini makin meruncing selepas aktiviti itu masih lagi giat dilakukan segelintir remaja walaupun kemalangan yang membabitkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017 itu menjadi bualan mulut orang ramai.

 

KERAJAAN SEDANG RANGKA LANGKAH SESUAI

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook

Berhubung kejadian itu, kerajaan setakat ini masih belum menggariskan undang-undang khas terhadap kesalahan itu, cuma gerak kerja ke arahnya sedang giat dijalankan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataan terbarunya memberitahu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan melihat aspek cara mengawal selia basikal lajak.

Menurutnya, basikal lajak, yang fenomenanya menjadi satu masalah kepada orang awam serta membahayakan nyawa kanak-kanak dan pengguna jalan raya yang lain, pada masa ini tidak dikawal selia oleh mana-mana undang-undang dan ia turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet lepas.

Kita kena lihat bagaimana untuk melaksanakan kawal selia itu, sama ada menggunakan undang-undang sedia ada, perlukan pindaan undang-undang atau undang-undang yang baharu.

“Belum sampai ke tahap itu (draf undang-undang),” katanya ditanya tentang perlunya wujud undang-undang untuk diambil tindakan terhadap pihak terlibat secara langsung mengubah suai basikal lajak.

Ditanya sama ada kawal selia itu turut membabitkan pindaan Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Loke berkata rangka penyelesaian masalah berkenaan perlu dilihat secara menyeluruh.

“Kebanyakan terlibat adalah kanak-kanak, bagaimana kita nak rampas basikal itu dan sebagainya, jadi kena lihat sama ada praktikal atau tidak. Itu sebabnya kita kena lihat keseluruhan akta itu dan juga apa lagi peruntukan atau pindaan yang diperlukan.

“Jadi rangka bagaimana untuk menguruskan dan mengawal selia termasuk tanggungjawab ibu bapa dan sebagainya perlu dilihat secara keseluruhan,” katanya.

 

AGENSI TURUT MAINKAN PERANAN

Pelaksanaan itu tidak terhenti di situ sahaja, apabila Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) turut melibatkan golongan ibu bapa dalam usaha membanteras kegiatan itu.

Ketua Pengarahnya Mohd Nasri Ishak berkata penglibatan ibu bapa dalam program itu perlu kerana mereka adalah orang paling dekat berperanan mengawasi pergerakan anak-anak mereka.

“Mereka (ibu bapa) mampu memainkan peranan dalam mempengaruhi anak-anak supaya tidak terjebak dengan aktiviti basikal lajak yang membahayakan nyawa kerana aspek keselamatan basikal itu tidak dipatuhi.

“Program advokasi ini akan diadakan di sekolah dan kawasan perumahan yang dikenal pasti menjadi lokasi tumpuan kanak-kanak dan remaja bermain basikal lajak,” katanya.

 

‘VETERAN’ BASIKAL LAJAK BERI NASIHAT

Pakar pecut Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh

Dalam usaha menghapuskan aktivti yang tidak berfaedah ini, usaha pebagai pihak memainkan peranan penting, terutamanya para atlet yang lahir dari kegiatan itu sendiri.

Mengimbas kembali kenangan lalu, pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) Mohd Harrif Salleh berkata, masih terngiang dalam kepala ketika rakannya meninggal dunia ketika asyik berlumba hingga berlanggar dengan kereta.

“Jangan jadi jaguh yang sia-sia. Berlumba dengan basikal lajak yang tiada brek bagai sengaja menempah maut.

“Basikal ini tiada brek, tiada lampu dan diubah suai supaya mempunyai kelajuan luar biasa. Saya mungkin bernasib baik kerana tidak terjebak terlalu lama dan pernah rasa bersalah kepada ibu yang tidak lena tidur memikirkan anak yang tidak pulang meskipun telah awal pagi.

“Kebiasaan kami akan berlumba pada setiap malam Jumaat, bermula pukul 12 tengah malam. Masa tu lebih 150 orang boleh dikumpul dalam satu-satu masa. Ramai kanak-kanak dari merata ceruk kampung akan keluar,” katanya yang pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 2017 dan kini menjadi pakar pecut dalam pasukan TSG.

 

IBU BAPA MULA AWASI PERGERAKAN ANAK

Sejak kejadian dua tahun lalu itu, nampaknya semakin ramai golongan membuka mata, termasuk ibu bapa yang mungkin pada awalnya tidak mengendahkan aktiviti luar anak-anak, mula mengambil iktibar terhadap kejadian yang berlaku

Ia dibuktikan, apabila sebahagian ibu bapa mula mengawasi tingkah laku anak-anak mereka.

Seorang peniaga, Shahrul Adam yang berusia 50-an, dari Bukit Katil di sini beliau akan memastikan tiga orang anak lelakinya berada di rumah sebelum masuk waktu solat Maghrib sepertimana yang dilakukan oleh arwah bapanya ketika beliau masih kecil.

“Bagi saya anak adalah harta yang perlu dijaga dengan baik kerana ianya adalah tanggung jawab dari Allah swt dan dan atas prinsip tersebut saya sentiasa memastikan anak-anak saya pulang awal dan memantau apa yang mereka dilakukan ”katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas sikap ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka merayap sehingga awal pagi dan terlibat dalam kegiatan basikal lajak yang boleh membahayakan keselamatan diri sendiri serta pengguna di mana contoh terbaik ialah kejadian di Johor Bahru pada 18 Feb 2017 apabila lapan orang kanak-kanak yang sedang bermain basikal lajak maut dilanggar sebuah kereta pada pukul 3 pagi.

Beliau bersetuju dengan kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa Ibu bapa kepada anak yang terlibat dengan kegiatan basikal lajak sehingga mengundang bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001.

Ibu bapa yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

 

KESIMPULAN

Kesemua pihak sebenarnya perlu memainkan peranan dalam membentuk moral anak-anak, terutamanya golongan ibu bapa yang menjadi pertahanan pertama dalam soal pendidikan di rumah.

Jika dahulu, baik mereka di rumah, baiklah mereka di luar, tetapi situasi itu tidak dapat diaplikasi dalam keadaan serba ekstrim yang dilalui para kanak-kanak kini.

Mungkin akibat beberapa faktor, antaranya kawasan bermain yang hilang akibat pembangunan, pengaruh rakan budaya dan lain-lain, kurangnya sikap tegur-menegur yang kerap dilabel menyibuk, membuatkan ia dilihat makin tidak terkawal.

Kanak-kanak, dari segi mereka, hanya memikirkan keseronokkan sementara, sebagai golongan dewasa, kitalah yang patut memberi tunjuk ajar.

Tidak dinafikan, terdapat atlit kebanggaan yang pernah lahir dari arena jalanan, tetapi berapa ramai? Berbaloikah ia dengan nyawa lain yang perlu dibayar semata-mata untuk atlit seorang dua?

Mudah cerita, usah dilayan, laksanakan undang-undang sepatutnya terhadap pesalah, kenakan juga pada ibu bapa kerana culas melaksanakan tanggungjawab,

Buat pelumba haram cilik ini, jika rasa mereka terlalu kecil untuk mengetahui apakah hukuman yang sesuai, berikan hukuman khidmat sosial buat mereka, agar mereka tiada masa untuk raikan benda tidak berfaedah.

Beringatlah dalam melakukan setiap perkara, jadikan peribasa sudah terhantuk baru terngadah sebagai santap minda

Akhir kata, jika kesiankan masa depan generasi muda, rotanlah dengan syarat mendidik, mereka ini masih muda dan perlu diberikan perhatian, usah dimanjakan sangat. melentur buluh biarlah dari rebungnya

Banyak lagi aktiviti baik yang boleh dibuat, mengapa hanya basikal lajak yang diberikan kepuasan, fikir-fikirkan.

CATEGORIES