Kedudukan Saminathan kekal ketika ini – Adly

Kedudukan Saminathan kekal ketika ini – Adly

Semoga ADUN Gadek mendapat keadilan sewajarnya

SAMINATHAN…Cari jalan penyelesaian.

AYER KEROH 6 Nov. – “Kedudukan G. Saminathan kekal sebagai Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini,” kata Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Jelas beliau, Saminathan akan memohon cuti atas dakwaan terhadap dirinya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

ADUN Gadek itu juga ujarnya, akan bercuti daripada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selagi tempoh perbicaraan itu berlangsung.

“Kedudukan beliau kekal sebagai Exco kerajaan negeri dan ADUN, dalam sistem kerajaan Pakatan Harapan (PH) memang kita hormati perlembagaan dan undang-undang negara.

“Siapa pun akan melalui proses yang sama dan kita harap beliau diberikan keadilan,” katanya pada sidang media di Seri Negeri di sini baru-baru ini.

Jelas Adly, permohonan cuti akan dikemukakan oleh Saminathan kepada Speaker DUN.

“Beliau kekal dalam posisi sedia ada sebagai ADUN dan Exco dalam tempoh bercuti tersebut,” katanya.

CATEGORIES
TAGS