Kebersihan sungai tanggungjawab segenap lapisan masyarakat – Adly

Kebersihan sungai tanggungjawab segenap lapisan masyarakat – Adly

Cintai sungai kita!

MELAKA, 3 Dis. – Menjaga kebersihan sungai adalah tanggungjawab segenap lapisan masyarakat kerana sungai yang tercemar boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan semua, kata Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Beliau berkata sungai merupakan sumber kehidupan, justeru sungai yang tercemar menyebabkan pelbagai kesan kepada kehidupan seperti sumber air bersih semakin berkurangan yang mana ini ‘merampas’ nikmat keindahan sungai daripada generasi akan datang.

“Penduduk setempat melalui rukun tetangga perlu mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan sungai. Umpamanya, penduduk boleh mengutip plastik, botol dan kayu yang ada di dalam sungai. Malah, sepanjang sungai boleh dibina laluan pejalan kaki dan taman yang dihiasi oleh jajaran pokok bunga.

“Jadi, secara tidak langsung, sungai menjadi kawasan rekreasi untuk penduduk. Dengan cara ini, penduduk lebih menghargai kewujudan sungai dalam kehidupan mereka,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook di sini hari ini.

Beliau berkata pendidikan dari usia muda tentang kepentingan sungai yang bersih boleh dimainkan di sekolah melalui pendidikan kesedaran dengan guru perlu menyelitkan kepentingan memelihara kebersihan sungai.

“Benarlah kata bijak pandai dahulukala, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Jika anak-anak ini dapat dipupuk dengan rasa tersebut, maka masalah pencemaran sungai tentu dapat dinoktahkan pada masa hadapan memandangkan merekalah generasi yang akan meneruskan legasi kehidupan,” katanya.

Adly berkata kempen ‘Cintai Sungai Kita’ juga perlu dipergiat ke seluruh negara dengan penyebaran informasi tentang kesan mencemarkan sungai bukan sahaja dilakukan melalui kaca televisyen tetapi juga perlu dilakukan di radio dan media cetak seperti akhbar arus perdana.

“Ceramah dan pengedaran risalah tentang penjagaan kebersihan sungai dan impak pencemaran sungai juga boleh dilakukan di kawasan perumahan supaya masyarakat sedar akan tabiat buruk (mencemarkan sungai),” katanya.

Beliau berkata penguatkuasaan undang-undang giat dilakukan dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim perlu membuat pemeriksaan secara mengejut kepada penduduk berhampiran sungai, selain pihak berkuasa tempatan perlu mengenakan denda atau saman kepada kilang menyalurkan sisa toksik ke dalam sungai. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS