Kadar jenayah di Melaka menurun

Kadar jenayah di Melaka menurun

BANDARAYA MELAKA 15 April- Kadar jenayah di Melaka sejak Januari hingga semalam menunjukkan penurunan sebanyak 14.29 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, sebanyak 739 kes jenayah direkodkan sepanjang Januari hingga 14 April (semalam) berbanding tempoh yang sama sebanyak 848 kes pada 2018 dan berlaku penurunan sebanyak 108 kes.

Katanya, bagi jenayah kekerasan menurun sebanyak 23.9 peratus di mana 153 kes berbanding tempoh yang sama pada 2018 adalah 201 kes.

“Kadar jenayah bagi harta benda turut menurun sebanyak 9.4 peratus di mana bagi tempoh yang sama pada tahun ini dilaporkan sebanyak 586 kes berbanding tahun lalu untuk tempoh yang sama dilaporkan 647 kes.

“Pasukan kita akan terus bergiat aktif dan berusaha untuk membanteras jenayah di kawasan setempat, bagi memastikan kadar jenayah akan terus menurun dari masa ke semasa,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada Program Pencegahan Jenayah dan Derma Darah di Pusat Membeli Belah Aeon, di sini, tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Assisten Komisioner Kamaluddin Kassim.

Raja Shahrom berkata, walaupun indeks jenayah menurun, masyarakat tidak boleh berasa selesa kerana penjenayah sentiasa mengubah modus operandi dalam melakukan jenayah.

Jelasnya, program tersebut diadakan bersempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-212 tahun.

“Lebih 20 booth dibuka oleh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan pada program ini dan ianya bertujuan meningkatkan pemahaman komuniti terhadap isu-isu berkaitan jenayah, mendengar luahan komuniti.

“Pada hari ini sehingga jam 5 petang turut dibuka booth Polis Trafik, dan pembayaran denda atau kesalahan lalu lintas diberi potongan separuh harga atau 50 peratus daripada jumlah denda,” jelasnya.

CATEGORIES