JPJ sasar RM1 juta hasil bidaan siri nombor pendaftaran ‘MDF’

JPJ sasar RM1 juta hasil bidaan siri nombor pendaftaran ‘MDF’

Korang ada bid tak?

BUKIT KATIL 8 Okt – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menyasarkan kutipan hasil RM1 juta bagi bidaan siri nombor pendaftaran MDF melalui sistem JPJeBid.

Bidaan tersebut dibuka selama lima hari bermula 10 Oktober jam 12 tengah malam sehingga 14 Oktober jam 11.59 malam.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, setakat ini sebanyak RM29,222,859 jumlah kutipan hasil direkodkan di negeri ini sejak April lalu.

“Daripada jumlah itu, ia melibatkan seramai 87,723 pembida berdaftar di mana jumlah purata bidaan sebanyak 13 hingga 15 pembida bagi NO 99 setiap siri (kategori menarik).

“Harga bidaan dalam JPJeBid ditetapkan mengikut harga minima bagi kategori nombor bernilai utama (RM20,000), nombor menarik (RM3,000) nombor popular (RM800) dan nombor biasa (RM300).

“Kesemua kategori ini hanya dikenakan kenaikkan bidaan minima sebanyak lima peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran bidaan nombor pendaftaran JPJeBid siri MDF di JPJ Bukit Katil, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JPJ Malaysia Bahagian Perlesenan Kenderaan, Mohd Hafiz Shamsani Othman; Timbalan Pengarah JPJ Melaka, Razali Omar dan Pengarah Bahagian Korporat & Penerangan Strategik JPJ Malaysia, Yatim Nawawi.

Jelasnya, kaedah pembayaran bidaan dalam JPJeBid menggunakan kad kredit dan kad debit tempatan sahaja.

“Pembida boleh membina seberapa banyak nombor diminati dengan bayaran perkhidmatan RM10 bagi setiap nombor yang dibida (one-time).

“Setiap individu hanya layak memenangi maksimum tiga nombor kenderaan manakala perniagaan atau syarikat tidak melebihi lima nombor kenderaan,” katanya.

Ujarnya, JPJeBid menawarkan ketelusan bermula dari traksaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat dan pembida boleh mengetahui kedudukan secara ‘realtime’.

“Nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan JPJ.

“Ia terbuka kepada Warganegara Malaysia dan Penduduk Tetap Malaysia berumur 18 tahun ke atas serta perniagaan/syarikat yang berdaftar,” katanya.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS