JKM selamatkan lima beranak ‘kebuluran’

JKM selamatkan lima beranak ‘kebuluran’

Syukur akhirnya nasib mereka terbela

AYER KEROH 20 Sept.- Nasib Lima beranak yang tular di laman Facebook kelmarin apabila meminta bantuan makanan untuk keperluan dirinya dan empat anaknya yang hanya mengalas perut dengan minum air kosong kepada seorang aktivis masyarakat terbela selepas menerima bantuan daripada pihak bertanggungjawab.

Pengarah JKM Melaka, Burhanuddin Bachik ketika dihubungi berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kesusahan yang dialami keluarga terbabit melalui info yang tular di media sosial.

Katanya, pada malam penularan mengenai keluarga terbabit, pihak JKM telah ke rumah keluarga itu untuk mendapatkan maklumat dan datang semula keesokan harinya (Rabu) bagi memberi bantuan segera.

“JKM dan Majlis Agama Islam (MAIM) telah mengenal pasti bahawa keluarga tersebut memang benar tergolong dalam kumpulan asnaf dan hari ini kami tampil menyampaikan bantuan.

“JKM sendiri telah memberi bantuan segera RM300 dan keluarga ini akan menerima RM400 secara bulanan dan RM50 untuk setiap anak yang bersekolah juga secara bulanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi MelakaKini, hari ini.

Mengulas lanjut, Burhanuddin berkata, dia ditemani wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) untuk menyerahkan tabung bantuan segera kepada keluarga terbabit.

Jelasnya, orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan boleh menghubungi JKM di Talian Kasih di 15999.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS