JKM Alor Gajah selesaikan kes tiga beranak tinggal di khemah

JKM Alor Gajah selesaikan kes tiga beranak tinggal di khemah

Syukur...

KUALA LINGGI 8 Nov. – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Alor Gajah bertindak pantas dalam menyelesaikan kes bapa tunggal dan dua anaknya yang tular baru-baru ini apabila terpaksa hidup merempat dan tinggal di dalam khemah di kawasan Telok Gong, di sini.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Amran Othman berkata melalui satu sesi lawatan bersama pihak JKM semalam, bapa tunggal yang bernama Muhammad Azri Abdullah atau dikenali sebagai Badol itu telah mencapai persetujuan untuk menyerahkan dua anak kecil yang berusia lima tahun itu kepada keluarga bekas isteri.

Katanya, selain itu, pihak JKM juga bakal memberikan bantuan bulanan kepada kedua-dua anak kecil itu untuk menampung sedikit perbelanjaan mereka nanti.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan keluarga angkat Badol dan keluarga bekas isteri, kata sepakat telah dicapai iaitu dengan memberikan hak jagaan kedua-dua anaknya kepada ibu bekas isterinya yang juga tinggal di Kampung Telok Gong.

“Ini berikutan daripada keadaan Badol yang tidak mempunyai kerja tetap dan tidak mampu untuk menyediakan kelengkapan dan kediaman kepada anak-anaknya, termasuk hal membabitkan persekolahan yang mana Badol sendiri mengakui tidak mampu menyediakan kemudahan untuk anak-anaknya.

“Selain itu, pihak JKM juga akan memberikan bantuan bulanan kepada kedua-dua anak kecil itu agar ianya dapat menampung sedikit perbelanjaan mereka.

“Setinggi-tinggi ucapan terima kasih diucapkan kepada JKM Alor Gajah kerana telah menyelesaikan permasalahan yang dihadapi ini dengan pantas,” katanya.

Pada masa sama, Amran berkata, pihak JKM turut menasihati Badol agar dapat menguruskan diri dengan lebih baik dan berusaha untuk menyewa rumah atau bilik untuk kemudahan dirinya sendiri.

Tambahnya, Badol juga tidak dilarang untuk melawat anak-anaknya pada bila-bila masa.

 

Artikel Berkaitan

CATEGORIES
TAGS