Jeritan selamatkan anak, isteri dari ditimpa siling rumah

Jeritan selamatkan anak, isteri dari ditimpa siling rumah

Alhamdulillah semuanya selamat

KAMPUNG PINANG 30 Okt. – Jeritan dan tindakan pantas seorang pegawai keselamatan telah menyelamatkan isteri serta tiga anaknya daripada ditimpa siling rumah dalam kejadian ribut berserta puting beliung yang melanda kampung itu, pagi kelmarin.

Mangsa, Saiful Ali, 41, berkata, ketika kejadian dia terdengar bunyi dentuman kuat di bumbung sebelum melihat bumbung rumahnya terbang ditiup angin.

“Pada waktu itu saya hanya nampak samar-samar kerana hari masih gelap dan saya dapati bumbung saya telah diterbangkan angin.

“Disebabkan bumbung sudah tiada, air hujan memasuki rumah dan saya segera membawa anak-anak dan isteri keluar dari rumah.

“Mujurlah kami semua sempat keluar rumah apabila siling rumah yang kami duduki runtuh akibat hujan lebat yang memasuki rumah.

“Ketika itu juga saya sempat mengejutkan jiran-jiran saya untuk keluar bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini terjadi,” katanya ketika ditemui MelakaKini.

Selain bumbung dan siling rumah, jelas Saiful, televisyen serta beberapa lagi barangan elektrik dan perabot miliknya turut mengalami kerosakan akibat kejadian itu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk di Kampung Batang Tiga yang turut terjejas akibat puting beliung itu, Mohd Sukor Mahat, 40, bimbang kejadian sama akan berulang lagi.

“Kami sekeluarga memang agak risau. Sebab mengikut kata rakan di Kedah dan Perlis kalau kejadian ini sudah berlaku sekali, ia mungkin akan berulang lagi kerana itu merupakan laluannya (puting beliung).

“Sebelum ini lebih kurang lima ke enam tahun lalu, kami pernah nampak angin seakan puting beliung di kawasan ini, tapi angin itu kecil dan hanya lalu sahaja. Tapi apa yang berlaku baru-baru ini memang luar biasa.

“Angin itu bukan sahaja menerbangkan bumbung tetapi juga mengangkat sekali kayu yang berat di atas bumbung. Mujurlah kayu dan bumbung itu tidak kena pada kereta kami yang diletakkan di luar rumah,” katanya.

CATEGORIES