JAPERUN perlu kurangkan karenah birokrasi skim Rumah Peduli

JAPERUN perlu kurangkan karenah birokrasi skim Rumah Peduli

Permudahkan, jangan menyusahkan. Fahami hasrat kerajaan negeri untuk membela nasib rakyat

AYER KEROH – Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mahu semua Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) mengurangkan karenah birokrasi dan memudahkan lagi kaedah permohonan orang ramai yang memohon skim Rumah Peduli.

Beliau meminta pihak JAPERUN tidak terlalu terikat dengan syarat permohonan rumah itu hingga ramai yang gagal mendapat kelulusan ketika memohon walaupun memiliki tanah sendiri untuk dibina Rumah Peduli.

“Saya difahamkan ada pemohon daripada golongan B40 dan M40 yang mempunyai kelayakan asas iaitu memiliki tanah sendiri tetapi gagal memohon Rumah Peduli kerana tidak berdaftar dengan E-Kasih.

“Memang benar dalam syarat permohonan ada dinyatakan bahawa keutamaan diberikan kepada pemohon yang mendaftar E-Kasih tetapi ia bukanlah sesuatu yang wajib. Hanya keutamaan sahaja. Kena faham maksud keutamaan dan wajib,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusi mesyuarat Jawatankuasa Negeri, Kewangan, Tanah, Perancangan Ekonomi dan Hal Ehwal Agama di Seri Negeri di sini.

Hadir sama dalam mesyuarat itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan.

Skim Rumah Peduli merupakan projek kerajaan negeri khusus kepada golongan B40 dan M40 yang memiliki tanah sendiri di Melaka.

Projek perumahan yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu menawarkan harga tidak sampai RM40,000 seunit bagi rumah dua bilik dan tiga bilik.

Pada 10 Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan projek Rumah Peduli di Jasin.

Mengulas lanjut, Adly menjelaskan, syarat ketat akan menyebabkan pemohon lambat memiliki rumah itu sekali gus sasaran kerajaan negeri untuk membina 500 unit rumah berkenaan dalam tempoh lima tahun akan datang, tidak tercapai.

“Bayangkan selepas mendaftar E-Kasih, pemohon perlu menanti enam bulan lagi untuk memohon. Saya fikir kalau begitu caranya, silap-silap pemohon kena tunggu setahun lagi. Kalau begini caranya memang sasaran kita sukar dicapai,” tegasnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan projek Rumah Peduli fasa pertama berjumlah 84 unit pada tahun ini.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS