Jangan politikkan institusi agama – Adly

Jangan politikkan institusi agama – Adly

Kalau menegur, biarlah membina jangan politik sahaja..

BUKIT PALAH 11 Ogos – Institusi agama tidak seharusnya dipolitikkan mahupun dijadikan isu berbangkit malah perlu dihormati dan dilaksanakan sebaiknya.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, isu-isu berbangkit termasuk pemilihan penceramah perlu diselesaikan melalui musyawarah bagi mendapatkan perbincangan yang terbaik.

Menurut beliau, pelanggaran peraturan penceramah dalam menyampaikan ilmu perlu diselesaikan melalui budi bicara dan penambahbaikan sedia ada.

Ditanya apakah pemilihan penceramah memerlukan garis panduan baharu, beliau berkata, kerajaan negeri akan melihat semula garis penduan berkenaan dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Dari sudut pentauliahan penceramah, kita akan semak, jika mereka wajar diberikan pentauliahan, kita akan beri mereka untuk mengajar dengan syarat yang harus dipenuhi.

“Selain pentauliahan kita memang ada beberapa proses kebenaran daripada Jabatan Mufti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sendiri.

“Malah, kebenaran itu juga perlu tertakluk kepada beberapa perkara yang sering kita tekankan iaitu berkaitan isu perpaduan, perkara buruk jangan dibangkitkan dan paling penting institusi negara dan perlembagaan itu harus dihormati,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Korban Kelompok Masjid Al-Azim, di sini, pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata isu pemilihan penceramah Wan Ji yang dicetuskan baru-baru ini sudah diselesaikan kerajaan negeri bersama MAIM melalui langkah perbincangan berhubung isu berkenaan.

“Dari semasa ke semasa kita akan panggil semua pihak bagi melakukan perbincangan bagi menyelesaikan isu ini mengikut budi bicara berbanding mengikut saluran undang-undang.

“Malah kita akan memberi nasihat kepada semua pihak bagi menggunakan budi bicara supaya ianya tidak berulang pada masa depan,” katanya.

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS