“Jangan ganggu kepimpinan Pengakap Melaka 2019-2020” – Norhizam

“Jangan ganggu kepimpinan Pengakap Melaka 2019-2020” – Norhizam

Semua pihak perlu patuh kepada peraturan

BUKIT KATIL 18 Sept. – Majlis Pengakap Negeri Melaka mengingatkan agar barisan kepimpinan baharunya yang telah dipilih secara sah pada mesyuarat agungnya pada April lepas, tidak diganggu oleh barisan kepimpinan sebelumnya.

Tegas Pengerusinya Norhizam Hassan Baktee, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap barisan kepimpinan Pengakap negeri sebelum ini sekiranya masih membuat gangguan dan gagal memenuhi tuntutan dibuat pihaknya.

Menurutnya, pihaknya telah menuntut Pentadbir Pengakap Melaka Tahun 2018 dan sebelumnya mengembalikan segala harta dan peralatan milik Pengakap Melaka kepada Pentadbir Pengakap Melaka Tahun 2019.

“Antara harta dan peralatan berkenaan termasuklah surat hakmilik tanah, perjanjian jual beli bangunan, buku cek, laporan kewangan bulanan dan mesin,” katanya kepada pemberita di Kem Pengakap Negeri Melaka di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka, Abdul Hamid Mustapah dan barisan kepimpinan 2019-2020.

Norhizam yang juga Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Negeri, turut menyangkal laporan sebuah akhbar tempatan pada 14 September lepas yang menyatakan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Melaka.

Beliau berkata, mesyuarat agung yang diadakan pada 10 November tahun lepas yang memilih Shamsul Iskandar sebagai Pengerusi dianggap tidak sah oleh Persekutuan Pengakap Malaysia kerana tidak mematuhi prosedur organisasi dan peraturan (POR) Persekutuan Pengakap dan undang-undang kecil Majlis Pengakap Negeri.

“Saya dipilih sebagai Pengerusi semasa mesyuarat agung Majlis Pengakap Negeri Melaka yang diadakan pada 27 April 2019 di Pusat Latihan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Melaka International Trade Centre (MITC),” jelasnya.

Ujarnya, Shamsul Iskandar telah memfailkan permohonan Perintah Injunksi Ex-parte bagi menghalang mesyuarat agung tersebut pada April lepas daripada diadakan.

“Namun Mahkamah Tinggi Melaka menolak permohonan tersebut dan membenarkan Pentadbir Pengakap Melaka 2019 mengadakan mesyuarat agung berkenaan,” katanya.

Beliau turut meminta pihak media merujuk sebarang perkara berkaitan Pengakap Negeri Melaka dengan pihak ibu pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS