Jangan cetus api perkauman

Jangan cetus api perkauman

Jangan beri muka pada pihak yang cuba cetuskan api perkauman

PAYA RUMPUT 1 Sept. – Anggota Exco kerajaan negeri Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mengingatkan pihak tertentu agar tidak bermain dengan api perkauman dan agama yang boleh memusnahkan keamanan negara.

Tegas Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka itu, sentimen perkauman dan agama akan mewujudkan prasangka antara kaum sekali gus menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

“Jangan kita mengapi-apikan perkauman yang menebal dalam kalangan rakyat kita kerana perkauman yang menebal api kebencian di antara kaum dan juga sentimen kebencian antara agama tidak akan menguntungkan kita walaupun dari segi politiknya ia menguntungkan sesetengah pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MelakaKini selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang program Larian Belia Merdeka 2019 di Stadium Hang Jebat di sini hari ini.

Hadir sama Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee dan Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka, Mohd. Riduan Mohd. Ali.

Larian melibatkan 1,050 peserta dari seluruh negara itu dianjur bersama Jabatan Belia dan Sukan, Perbadanan Stadium Melaka serta Majlis Gabungan Belia Melaka.

Mohd Rafiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha mewujudkan suasana harmoni antara kaum dengan mengadakan pelbagai program ke arah itu.

Kerajaan negeri jelas Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, sedar bahawa segala perancangan untuk membangunkan negeri ini tidak akan tercapai jika tiada perpaduan antara kaum.

Program Larian Belia Merdeka yang diadakan itu tambahnya adalah contoh terbaik yang dilaksanakan antara kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memupuk perpaduan kaum dalam kalangan generasi muda.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS