Jalur Gemilang terbalik guris hati bekas tentera

Jalur Gemilang terbalik guris hati bekas tentera

Tindakan tegas perlu diambil jika benar ia berlaku

JASIN 22 Ogos – Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ternyata kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang mempersendakan Jalur Gemilang dengan memasangkan secara terbaik sebagaimana yang tular di media sosial.

Pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik itu benar-benar mengguris perasaan mereka yang telah bersusah payah menjaga keamanan negara dengan berjuang menentang Parti Komunis Malaya (PKM) sekitar tahun 1977.

Yang Dipertua Bekas Askar Tidak Berpencen, Alias Abdul Wahab, 60, berkata, kejadian berkenaan tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ketika negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan Ke-62 tidak lama lagi.

Katanya, sebagai antara pejuang keamanan negara, hatinya remuk melihat simbol perjuangannya dan rakan diperlakukan sedemikian.

“Sebagai bekas tentera yang pernah berjuang demi keamanan semua kaum di negara ini, menghina Jalur Gemilang yang menjadi lambang perjuangan kami amat mengecewakan.

“Kalau boleh bersatulah, jagalah hak masing-masing dan usah mengeruhkan lagi keadaan, kami sebagai orang Melayu tidak mahu bergaduh dan mampu bertolak ansur untuk menyelesaikan masalah.

“Kami berharap rakyat Malaysia mampu hidup dalam keadaan harmoni, cuma jika ada yang terperasan gejala berkenaan dilakukan sila laporkan pada badan penguatkuasa,” katanya ketika ditemui di sebentar tadi.

Bagi Mat Deli Abdul Hadi, 62, yang pernah berkhidmat menentang PKM pada 1977 di Bukit Berapit pula sedih mengenangkan perjuangannya suatu ketika dahulu seolah-olah tidak diendahkan menerusi simbol negara yang kurang dihormati kini.

“Sedih saya menyaksikan Jalur Gemilang yang diterbalikkan, perasaan itu sepatutnya ada di hati setiap rakyat Malaysia.

“Di sebalik rasa sedih, rasa tidak puas hati juga ada kerana ia tidak sepatutnya berlaku,” jelasnya.

Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Abdul Majid N.M. Abu Bakar, 65, juga senada dengan dua rakannya yang lain dan berharap ia dihentikan segera.

Dia berharap orang ramai tidak melakukan perkara sia-sia yang boleh mengugat perpaduan kaum di negara ini.

“Memang rasa sedih, marah melihat perkara sedemikian, cuma berharap jangan ada sikap terburu-buru dalam kalangan masyarkat.

“Mungkin ia membabitkan masalah teknikal dan tidak perlu menuduh ia dilakukan kaum tertentu.

“Cuma jika betul ada bukti ia dilakukan, harap ditegur kerana Jalur Gemilang adalah lambang negara kita dan usah diperkotak-katikkannya,” katanya.

 

SERTAI Group FB MelakaKini. LIKE/Follow FB Page MelakaKini. Jangan terlepas berita Negeri Melaka!.

CATEGORIES
TAGS