Jalan umpama `zon gempa bumi’

Jalan umpama `zon gempa bumi’

Mohon pihak berkaitan segera selesaikan masalah ini agar keselamatan pengguna jalan berkenaan terjamin

LENDU 18 Jun – “Setiap kali lalu di sini umpama memandu dalam ‘zon gempa bumi’ kerana kenderaan mengalami gegaran lebih-lebih lagi apabila di selekoh yang tajam.”

Demikian rungutan pengguna Jalan Kampung Solok Seberang berdekatan Kompleks Rakan Muda di sini.

Menurut seorang pengguna jalan raya, Sahlan Sidik, 49, masalah yang berlaku sejak lebih lima bulan lalu itu mengakibatkan ada kenderaan tersasar dari laluan disebabkan jalan yang berbonggol dan tidak rata.

“Malah, sudah beberapa kali kemalangan berlaku di sepanjang jalan ini pada tahun ini, hingga  mengancam nyawa dan keselamatan pemandu,” katanya.

Menurutnya, kerja-kerja menaik taraf laluan itu pada awal tahun ini umpama projek gajah putih hingga mendatangkan bahaya kepada keselamatan kepada pengguna.

Tinjauan MelakaKini mendapati projek sepanjang 1.5 kilometer itu dijalankan bermula dari Jalan Kampung Solok Seberang berdekatan Kompleks Rakan Muda. Sahlan difahamkan masalah itu berpunca daripada projek menanam saluran pembentungan, menyebabkan laluan itu terpaksa digali dan diturap semula.

“Lebih menyedihkan, apabila dah diturap, jalan pula tidak rata membuatkan permukaan jalan berlubang dan ini amat berisiko terutama pada waktu hujan malah di sepanjang jalan terbabit terdapat empat selekoh termasuk dua selekoh merbahaya.

“Ini merupakan jalan utama menghubungkan Masjid Tanah ke Alor Gajah malah bukan sahaja kenderaan ringan tetapi lori dan treler turut menggunakan jalan ini. Saya harap pihak berwajib  selesaikan segera masalah ini,” katanya.

Isu itu juga ditularkan di media sosial apabila warganet kecewa ekoran masalah itu gagal diselesaikan sejak lima bulan lalu.

Seorang netizen dikenali sebagai Amir Hamzah berkata, dia terpaksa menempuh laluan itu setiap hari ke tempat kerjanya.

“Jalan dahlah buruk, tak rata, bertampal terlalu kasar, kalau naik motosikal berhenjut hingga nak jatuh malah perkara ini membuatkan saya menghadapi sakit pinggang,” katanya.

Seorang lagi pengguna dikenali Red Cakoi berkata, kerja-kerja menanam kabel di kawasan itu membuatkan jalan itu rosak malah mempertikaikan prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan dalam projek berkenaan.

Kamarul Zaman Kassim yang juga pengguna Facebook turut mengongsikan pengalamannya apabila menghadapi musibah tatkala memandu di kawasan itu.

“Selepas kerja-kerja tersebut, tayar motosikal saya sudah tiga kali bocor disebabkan jalan tidak rata. Jalan berlekuk seolah buat kerja sambil lewa,” katanya.

Seorang lagi netizen dikenali sebagai Che Wan mempersoalkan masalah itu yang tidak dapat diselesaikan sejak 19 minggu lalu.

Maklumat yang diterima daripada sumbernya itu memaklumkan projek itu dihentikan sementara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) disebabkan kerja yang diselenggarakan itu telah melebihi had kedudukan sebenar.

“Kedudukan penanaman pembentungan itu telah melebihi had sebenar dan penggalian pembentungan itu sepatutnya ditanam di tepi jalan.

“Penanaman pembentungan memasuki ke tengah-tengah jalan raya, sebab itu kerja itu diberhentikan seketika bagi perbincangan kedua-dua belah pihak,” katanya.

 

Jangan terlepas berita terkini Negeri Melaka dengan Like dan Follow Facebook Page MelakaKini atau sertai dan lontarkan isu anda di Group MelakaKini untuk kami ketengahkan.

CATEGORIES
TAGS